© 2016 by Liga Pemuda Malaysia. Dibangunkan oleh unit media Liga Pemuda.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

TENTANG LIGA

Sejarah Ringkas

Susur Galur Perjuangan

Liga Pemuda lahir dicelah-celah kepincangan negara, disaat bibit-bibit perpecahan dikalangan parti-parti pembangkang mula menjelma. Keadaan ini merisaukan sekumpulan pemuda, yang telah sama-sama menganjurkan satu perbincangan khas, bagi mendesak agar diwujudkan satu koalisi pembangkang yang baru, pada 2015, bertujuan bagi memastikan agar sistem semak imbang dalam negara tidak terjejas.

Hal ini secara jelas, dan sejarah tidak akan pernah lupa, bahawa susur galur Liga Pemuda, telah digerakkan oleh anak-anak muda melawan, yang tidak bersetuju dan bekerja untuk menjatuhkan kekuasaan yang telah berdiri dalam negara sejak 1957.

Liga Pemuda telah lahir dengan nama Gerakan Anak Muda Demi Malaysia (Demi Malaysia), sebelum dijenamakan semula dengan nama Liga Pemuda, pada awal 2018. Seusai desakan mewujudkan koalisi pembangkang yang baru, dan setelah tertubuhnya Pakatan Harapan, Liga Pemuda telah bergerak, dengan agenda baru, iaitu menyusun tenaga pemuda agar tenaga muda dipertemukan, bagi meneruskan perjuangan menuntut perubahan di negara yang tercinta ini.

Liga Pemuda mengambil iktibar dari gerakan awal nasionalis, yang berjuang menuntut kemerdekaan dari penjajah British. Gerakan awal ini, yang digerakkan oleh kumpulan rakyat bawahan, telah membentuk Kesatuan Melayu Muda (KMM), kemudiannya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), yang seterusnya membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), bagi melawan penjajah.

 

PUTERA yang merupakan gabungan gerakan nasionalis Melayu, telah bergabung bersama Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA), membentuk PUTERA-AMCJA. PUTERA-AMCJA telah menjadi gabungan merentasi bangsa yang pertama, menyatupadukan seluruh rakyat Malaya berbilang kaum dalam satu kumpulan.

 

Mereka ini adalah kelompok nasionalis progresif, yang menjadikan kecintaan nasional sebagai asas bagi melawan penjajah dan memerdekakan tanah air, selain menolak dasar perkauman yang dimainkan penjajah dan alat-alat mereka.

 

Tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Burhanuddin Al Helmy, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob, Gerald De Cruz, Rosli Dhoby dan Zakaria Gunn adalah tokoh-tokoh yang diangkat dan akan sentiasa dikenang oleh Liga Pemuda, manakala pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), PKMM, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Rukun 13 (Sarawak), Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), dan Parti Kebangsaan Melayu Labuan (Sabah) adalah perubuhan awal yang membangunkan semangat perlawanan, dan kecintaan pada tanah air, yang akan diteladani setiap anggota Liga Pemuda.

“Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu-padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka”

- Dr Burhanuddin Al-Helmy