
DASAR LIGA Rakyat demokratik
DASAR LIGA rakyat Demokratik
Tiga Teras Pemuda
Setiap anggota Liga Rakyat Demokratik, wajib berpegang kepada 3 Teras Pemuda, yang menjadi asas kepada 10 Dasar Liga Rakyat Demokratik, dan mestilah menjadi asas kepada setiap tindakan dan kerja-kerja yang akan dijalankan.
1. Kebersamaan dan Kesatuan
Idea penyatuan kaum buruh, bagi membangun negara dan melawan penindasan seperti yang dibawa ahli falsafah lampau, boleh lah dikatakan tidak begitu relevan lagi bagi situasi semasa dan akan datang di Malaysia. Sektor buruh di negara hari ini, telah di monopoli warga asing, yang tidak punya keterikatan emosional dengan negara. Ia tidak bermaksud tenaga buruh asing ini di kesampingkan, namun kita percaya, bagi membangun bangsa dan negara ini, setiap individu itu mestilah mempunyai rasa cinta pada tanah air dan isinya.
Situasi ini menghasilkan kelompongan yang harus di isi, maka atas sebab itu kita menginsafi bahawa, kaum pemuda mesti menggantikan kaum buruh, kerana setiap pemuda itu berkongsi kebersamaan, dari segi sosial, ekonomi, dan juga pemikiran. Kebersamaan ini wajib dipadukan menjadi satu kesatuan utuh.
Selepas lebih 60 tahun merdeka, walaupun telah dilakukan pelbagai usaha oleh generasi terdahulu, tenaga pemuda masih belum pernah dipadu, menjadikan suara pemuda sering kali dibakul sampahkan. Liga Rakyat Demokratik, melalui anggotanya, wajib membina semula kekuatan ini dengan menyatukan suara pemuda.
2. Mengangkat Kemanusiaan
Kita mengambil tauladan di atas perjuangan generasi nasionalis awal, atau boleh juga kita panggil sebagai kelompok nasionalis progresif. Gerakan ini membuka jalan bagi kita mencapai kemerdekaan, dan bekerja bukan sahaja bagi membebaskan bangsa dari penjajah, tetapi juga faham kolot golongan terdahulu, yang tidak pernah percaya akan kemampuan isinya.
Generasi ini menunjukkan betapa semangat kecintaan pada tanah air, selain semangat kemanusiaan, mampu menggerakkan, serta menyatukan kekuatan rakyat.
Liga Rakyat Demokratik juga menolak faham perkauman yang memecah, diantara kaum, termasuklah bagi setiap individu yang memijakkan kaki diatas tanah bertuah ini, tanpa mengira kerakyatan.
Setiap anggota mestilah memiliki kecintaan pada tanah ini, dan mempertahankannya dari anasir yang akan merosakkannya, dengan tenaga, wang ringgit hatta dengan darah.
3. Keadilan dan Kesaksamaan
Setiap manusia, mestilah dilayan seadilnya, diatas semangat keadilan sejagat, tidak kira dari sudut ekonomi mahupun sosial.
Kita percaya, setiap manusia itu, terlahir bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak. Mereka mempunyai pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan.
Tanpa mengira agama, kaum, warna kulit, malah kerakyatan, setiap individu itu, yang menjejakkan kakinya di Tanah Air tercinta ini, mestilah diperlakukan dengan adil, dan diberikan hak sebagai seorang manusia.
Malah keadilan itu juga harus terpakai kepada seluruh isi Tanah Air, dengan seluruh hidupan, dijaga dengan baik.

10 DASAR LIGA rakyat demokratik
Prinsip, luhur dan garis perjuangan Liga Rakyat Demokratik adalah berdasarkan aspirasi, keinginan dan cita-cita luhur untuk membangunkan sebuah masyarakat Malaysia baru yang adil, progresif dan demokratik sepertimana yang termaktub di dalam Rukunegara
1. Membangun Masyarakat Adil dan Progresif
Memastikan setiap warga masyarakat diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk menyertai secara aktif di dalam setiap proses pembuatan keputusan terutamanya yang menyentuh dasar-dasar negara yang melibatkan kepentingan masyarakat umum seluruhnya.
2. Membangun Sebuah Sistem Ekonomi Pro-rakyat, Adil dan Demokratik
Agihan kekayaan negara di bahagikan secara adil kepada seluruh rakyat dan ianya tidak hanya kepada satu golongan masyarakat yang elit semata-mata serta ianya dapat pula memberi kebajikan, keselesaan, dan kesejahteraan kepada masyarakat keseluruhannya terutamanya kepada masyarakat dari golongan miskin, marginal, cacat, kurang upaya, kurang berada dan berpendapatan rendah.
3. Mengangkat Hak Asasi Manusia
Menggubal dan melaksanakan dasar, peraturan, undang-undang dan konvensi yang berteraskan kepada hak asasi manusia sejagat sepertimana yang terkandung di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan lain-lain konvensi yang diangkat, digubal dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
4. Menolak Diskriminasi
Melindungi setiap warga masyarakat tidak kira kaum, budaya, agama, keturunan dan gender, serta golongan migran dari sebarang bentuk diskriminasi di mana setiap warga masyarakat tersebut dilayan secara bermaruah, bermartabat, adil, saksama dan berperikemanusiaan.
5. Mengangkat dan Mengembang Sejarah Perjuangan Rakyat
Membaca, memahami, menyebar dan mengajarkan sejarah perjuangan gerakan nasionalis awal Malaysia dan memastikan sejarah ini, termasuk susur galur dan nilai perjuangannya diteladani dan disebar luaskan kepada ahli dan masyarakat umum.
6. Membangun Kebudayaan dan Kesenian Progresif
Menggalakkan pertumbuhan kebudayaan dan kesenian yang berakar umbi kepada perjuangan rakyat melawan penindasan. Mendemokrasikan kebudayaan dan kesenian seluas-luasnya di mana kebudayaan dan kesenian itu dapat di akses dengan mudah oleh seluruh masyarakat dari pelbagai sektor, kelas sosial dan strata masyarakat. Membebaskan kebudayaan dan kesenian dari menjadi hamba kepada modal dan keuntungan sahaja sebaliknya menjadikan kebudayaan dan kesenian sebagai satu saluran ekspresi manusia yang luhur, jujur dan bebas tanpa bergantung kepada keuntungan dan modal semata-mata.
7. Memastikan Sistem Pendidikan dan Kesihatan Berkualiti Buat Semua
Memastikan rumah yang manusiawi dengan harga berpatutan disediakan kepada rakyat serta menyediakan persekitaran tempat tinggal yang aman, sejahtera, bebas jenayah dan kondusif untuk membangun keluarga yang sihat dan harmoni. Memastikan sistem perhubungan dan pengangkutan negara mesra rakyat, murah, effisien dan mudah diakses oleh seluruh masyarakat. Memastikan pendidikan diangkat sebagai hak asasi manusia serta bekerja kearah mewujudkan sistem pendidikan percuma, dengan keutamaan buat keluarga berpendapatan rendah.
8. Menjaga Setiap Hidupan dan Alam Sekitar Dari Pencemaran, Kemusnahan dan Kepupusan
Melindungi, memelihara serta menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya bagi memastikan kehidupan termasuk seluruh warga alam lainnya seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan selamat, sihat, bersih dan bebas dari pencemaran dan kepupusan.
9. Melawan Kemiskinan
Memastikan bahawa masaalah kemiskinan yang di alami masyarakat setempat, dapat dibasmi serta dibantu, dengan menyediakan ruang dan peluang, bagi meningkatkan ekonomi masyarakat.
Setiap isi masyarakat, wajib menerima serta menikmati setiap kemudahan asas termasuklah akses kepada rumah, air dan eletrik, serta setiap pemuda didalam setiap isi rumah mendapat akses kepada pendidikan.
10. Mengangkat Bahasa Kebangsaan
Mengangkat, mengembangkan dan melaksanakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi, bahasa pengantar umum dan bahasa penyatuan kaum di Malaysia manakala bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa ibunda yang lain dilindungi malahan digalakkan untuk dipelajari oleh kaum-kaum lain di Malaysia.
