TENTANG LIGA

Sejarah Ringkas

Susur Galur Perjuangan

Liga Rakyat Demokratik (LRD) lahir dicelah-celah kepincangan negara, disaat bibit-bibit perpecahan dikalangan parti-parti pembangkang mula menjelma. Keadaan ini merisaukan sekumpulan pemuda, yang telah sama-sama menganjurkan satu perbincangan khas, bagi mendesak agar diwujudkan satu koalisi pembangkang yang baru, pada 2015, bertujuan bagi memastikan agar sistem semak imbang dalam negara tidak terjejas.

Hal ini secara jelas, dan sejarah tidak akan pernah lupa, bahawa susur galur Liga Rakyat Demokratik, telah digerakkan oleh anak-anak muda melawan, yang tidak bersetuju dan bekerja untuk menjatuhkan kekuasaan yang telah berdiri dalam negara sejak 1957.

Liga Rakyat Demokratik telah lahir dengan nama Gerakan Anak Muda Demi Malaysia (Demi Malaysia), sebelum dijenamakan semula dengan nama Liga Pemuda, pada awal 2018, dan kemudiannya, Liga Rakyat Demokratik, selepas diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, pada 8 Januari 2020. Seusai desakan mewujudkan koalisi pembangkang yang baru, dan setelah tertubuhnya Pakatan Harapan, Liga Rakyat Demokratik telah bergerak, dengan agenda baru, iaitu menyusun tenaga pemuda agar tenaga muda dipertemukan, bagi meneruskan perjuangan menuntut perubahan di negara yang tercinta ini.

Liga Rakyat Demokratik mengambil iktibar dari gerakan awal nasionalis, yang berjuang menuntut kemerdekaan dari penjajah British. Gerakan awal ini, yang digerakkan oleh kumpulan rakyat bawahan, telah membentuk Kesatuan Melayu Muda (KMM), kemudiannya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), yang seterusnya membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), bagi melawan penjajah.

 

PUTERA yang merupakan gabungan gerakan nasionalis Melayu, telah bergabung bersama Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA), membentuk PUTERA-AMCJA. PUTERA-AMCJA telah menjadi gabungan merentasi bangsa yang pertama, menyatupadukan seluruh rakyat Malaya berbilang kaum dalam satu kumpulan.

 

Mereka ini adalah kelompok nasionalis progresif, yang menjadikan kecintaan nasional sebagai asas bagi melawan penjajah dan memerdekakan tanah air, selain menolak dasar perkauman yang dimainkan penjajah dan alat-alat mereka.

 

Tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Burhanuddin Al Helmy, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob, Gerald De Cruz, Rosli Dhoby dan Zakaria Gunn adalah tokoh-tokoh yang diangkat dan akan sentiasa dikenang oleh LRD, manakala pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), PKMM, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Rukun 13 (Sarawak), Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), dan Parti Kebangsaan Melayu Labuan (Sabah) adalah perubuhan awal yang membangunkan semangat perlawanan, dan kecintaan pada tanah air, yang akan diteladani setiap anggota LRD.

“Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu-padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka”

- Dr Burhanuddin Al-Helmy

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.