• Admin

Akujanji Calon Sokongan Liga

Kami percaya bahawa kuasa anak muda penting dalam membina Malaysia yang lebih pro-rakyat. Suara dan peranan anak muda perlu diangkat dan diposisikan dengan sesuai bagi memastikan kepentingan generasi muda tidak dikesampingkan.


Kami percaya bahawa generasi muda di Malaysia sedang berhadapan dengan kebejatan yang luar biasa akibat polisi-polisi pentadbiran yang bermasalah oleh Kerajaan Barisan Nasional. Generasi muda menanggung beban ekonomi yang menyebabkan kualiti hidup mereka merosot walaupun mempunyai taraf pendidikan yang baik.


Kami percaya kepincangan urus tadbir negara ini memerlukan sumbang saran idea anak muda bagi memastikan pembangunan negara dipacu secara kolektif, inklusif, dan memenuhi keperluan semua sektor masyarakat tanpa ada yang terpinggir.


Kami percaya Malaysia memerlukan reformasi institusi, pemberdayaan semula ekonomi yang merakyat, pembaharuan semula polisi alam sekitar, sistem pendidikan yang berdaulat, perpaduan yang ikhlas dan jujur, pendemokrasian urus tadbir, pembasmian salah guna kuasa dan rasuah, serta pemansuhan undang-undang regresif dan drakonian.


Oleh itu kami, calon-calon anak muda Malaysia daripada Pakatan Harapan dengan penuh sedar dan insaf, berjanji akan mengangkat dan melaksanakan, Deklarasi Anak Muda Malaysia 2017, dalam mana-mana ruang legaslatif sekiranya kami dipilih oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 14 nanti bagi Kawasan yang kami tandingi.


DEKLARASI ANAK MUDA MALAYSIA 2017:

1. Mengangkat agenda pendidikan percuma buat seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan latar belakang

2. Menuntut peluang pendidikan diberikan kepada anak semua bangsa tanpa mengira kerakyatan.

3. Memperjuangkan kebebasan dan autonomi institusi pengajian tinggi daripada cengkaman dan campurtangan politik

4. Memperkukuhkan demokrasi alam sekitar demi keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar

5. Mengisytiharkan ‘eco-emergency’ lantaran kemusnahan alam sekitar yang semakin menjadi-jadi

6. Menggerakkan aktivisme anak muda ke peringkat akar umbi

7. Menggalakkan penyertaan wanita muda dalam struktur kepimpinan dan pembuatan dasar

8. Mengiktiraf hak orang asal dan orang asli serta mempertahankan hak-hak mereka

9. Menolak politik perkauman dan penindasan berdasarkan kelas

10. Mendesak agar semua undang-undang zalim dimansuh.

11. Memperkukuh setiakawan antara mahasiswa dan kesatuan sekerja

12. Membina rangkaian yang inklusif dan memberdaya semua kumpulan anak muda bagi memajukan diri

13. Memerangi budaya jijik korupsi, nepotisme serta menyokong budaya telus dan bertanggungjawab

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.