© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

Anak Muda, Ayuh Bersuara!

BERI aku 1,000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya,

Beri aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia – Sukarno


Kata-kata yang tidak mungkin akan dilupai anak Indonesia untuk sepanjang zaman. Kata-kata ini daripada pejuang kemerdekaan Indonesia.


Benar! Anak muda mampu mengoncangkan dunia. Tidak kira di mana, apabila anak muda mula memberontak dan memulakan penyusunan, maka ia sudah pasti akan menggusarkan pemain politik di negara tersebut. Pelbagai sejarah di merata dunia menunjukkan bagaimana penyatuan kuasa anak muda mampu meruntuhkan kuasa kezaliman rejim. Di Mesir, Indonesia, Filipina, Serbia dan banyak lagi.


Pada 18 Mac 2014, lahir sebuah gerakan mahasiswa dan anak muda di Taiwan yang menggegarkan Taiwan. Gerakan ini muncul apabila parti pemerintah pada ketika itu Kuomintang (KMT) meluluskan Akta Perjanjian Merentas Selat Perdagangan dalam Perkhidmatan (CSSTA) di Parlimen Taiwan tanpa pembahasan mendalam mengenai perjanjian ini.


Antara kandungan perjanjian ini membenarkan industri besar dari China untuk membuka industri perbankan, perfileman, kesihatan dan pelancongan di Taiwan tanpa batasan.


Anak muda dan mahasiswa dari Gerakan Sunflower memobilisasi ratusan ribu anak muda dan masyarakat untuk "mengambil alih" Parlimen Taiwan dan menuntut akta tersebut ditarik balik. Anak muda dan mahasiswa ini menghuni Parlimen Taiwan selama 24 hari dan menjadikan Parlimen Taiwan sebagai Parlimen rakyat. Pelbagai aktivis dijemput memberikan ucapan di dalam Dewan Parlimen Taiwan selama 24 hari itu. Parlimen dijadikan seperti “speakers corner”.


Akhirnya, parti pemerintah Taiwan terpaksa menarik balik akta itu dan berjanji membincangkan atau membahaskannya secara terperinci. Maka terbukti, mereka yang berkuasa terpaksa tunduk kepada tuntutan anak muda.


Anak muda Serbia (pada ketika itu masih di bawah pentadbiran Yugoslavia) juga pernah mempamerkan aksi yang tidak kurang handalnya. Pada 10 Oktober 1998 gerakan OTPOR! yang berlambangkan genggaman tangan yang lahir selepas satu undang-undang kontroversi mengenai universiti diperkenalkan Perdana Menteri Serbia Mirko Marjanovic.


Malah, beberapa hari sebelum OTPOR! dilancarkan, menteri informasi Serbia juga mengharamkan beberapa syarikat media yang bersifat kritikal terhadap pemerintah.

Nama OTPOR! mula menjadi bualan masyarakat Serbia. Dari sebuah gerakan kecil, OTPOR! mula dianggotai ribuan anak muda yang mengikut pergerakannya dari bandar ke bandar, universiti ke universiti dan desa ke desa.


Akhirnya OTPOR! juga berjaya menyakinkan pihak keselamatan untuk turut bersama dengan mereka menuntut perubahan dan reformasi sistem dalam Serbia. OTPOR! berjaya membawa perubahan di bumi Serbia walaupun berdepan pelbagai rintangan. Terbukti kunci kemenangan gerakan OTPOR! adalah penyatuan kaum muda di negara tersebut.


Apakah pada hari ini tanah air kita tidak berdepan isu sama dengan Taiwan dan Serbia? Malaysia kini sedang menjerumus ke alam negara gagal. Kalau di Taiwan, akta diluluskan di Parlimen tanpa pembahasan terperinci, di Malaysia pula jam Parlimen dimatikan untuk meluluskan akta tahan tanpa dibicara pada jam 4.58 pagi.


Soal rasuah, tidak perlu kita rungkai secara mendalam lagi. Isu rasuah bukan hanya menjadi perbualan penduduk Malaysia, tapi seluruh dunia. Penutupan atau penggantungan lesen agensi media yang melaporkan salah guna kuasa dan rasuah sudah menjadi budaya pemerintah di Malaysia. Penangkapan aktivis pembela rakyat juga sebahagian SOP di Malaysia.


Apakah bezanya antara Malaysia dan dua negara di atas?


Bagi saya, asasnya adalah tidak punyai perpaduan antara satu sama lain terutama anak muda. Kita punyai puluhan mahupun ratusan gerakan anak muda. Tetapi malangnya, semua daripada kita masih belum berjaya mencari titik persamaan. Kita masih menumpukan gerak kerja dalam bidang yang kita amati ataupun yang kita mahir dan percaya.


Tetapi, pada masa sama, kita ketahui negara sedang dalam kehancuran. Apakah kehancuran yang sedang berlaku ini tidak cukup untuk kita semua ketepikan perbedaan kita untuk satu agenda bersama?


Pada 13 dan 14 Mei 2017, Demi Malaysia akan menganjurkan Kongres Anak Muda Malaysia 2017 atau nama singkatannya KAMM2017 dengan bertujuan menyatukan anak muda demi menyelamatkan Malaysia.


KAMM2017 mahu menghimpunkan anak muda pelbagai latar belakang, kefahaman, politik atau ideologi untuk mencari titik persamaan agar kita semua dapat duduk semeja membincangkan hala tuju dan membentuk semula Malaysia sebagai negara yang kita mahukan.


Ini Kongres Anak Muda pertama dalam sejarah Malaysia selain kongres parti politik, mahasiswa atau NGO.


Ayuh, anak muda kita bersama menunjukkan kepada pemimpim negara kita juga punyai suara, dan jangan sesekali kamu berani menghindarkan suara anak muda.

Informasi mengenai KAMM2017 boleh dilayari di https://www.demimalaysia.net. – 26 April, 2017.


* Mandeep merupakan Koordinator Nasional Kongres Anak Muda Malaysia 2017