• Admin

AYUH KJ, KITA BERKONGRES

Updated: Aug 23, 2018

Untuk Hebahan Segera

23 Disember 2016


AYUH KJ, KITA BERKONGRES


Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan, merangkap Ketua Pemuda UMNO Nasional, Saudara Khairy Jamaluddin, seperti yang disiarkan dalam portal berita The Star tanggal 23 Disember yang lalu; kami yang dirujuk sebagai gabungan Demi Malaysia dengan ini menyambut baik pesanan yang dititipkan oleh beliau berkaitan usaha dan sumbangan ke arah pembangunan dan perkembangan positif terutama buat golongan belia.


Bertitik tolak dari situ, kami dengan sukacitanya memaklumkan Yang Berhormat Menteri, bahawa adalah sentiasa menjadi cita-cita Kongres yang bakal dianjurkan ini agar ianya bukan sekadar menyumbang kepada perkembangan positif buat golongan belia, sebaliknya juga kepada seluruh isi negara secara amnya. Perkembangan belia tidak sewajarnya diasingkan daripada realiti dan kemelut semasa negara.


Setiap kemelut yang sedang berlaku dalam negara hari ini, baik politik, sosial, mahupun ekonomi - akan secara langsung dan tidak langsung menjejaskan perkembangan golongan belia sendiri. Rasuah, politik kotor dan korup, salah guna kuasa, penyelewengan wang awam, memecah belah perpaduan rakyat, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemelut negara yang tentu sekali menjejaskan perkembangan belia. Maka adalah tanggungjawab bersama golongan belia sendiri untuk turut ikut menguraikan kemelut tersebut. Apabila kemelut tersebut berjaya kita uraikan, perkembangan positif buat belia seperti yang dikehendaki oleh Yang Berhormat Menteri pasti dapat dicapai.


Tidak dinafikan, bahawa inisiatif ini digerakkan oleh kumpulan dan individu-individu yang secara lazimnya dilihat tidak sehaluan dan bertentangan dengan kepimpinan dan dasar yang dianjurkan oleh kerajaan hari ini. Namun hakikat yang demikian tidak harus menjadi kegusaran buat pihak menteri mahupun pihak kerajaan berhadapan dengan inisiatif ini.


Inisiatif ini tidak lahir daripada matlamat politik mahupun perebutan kuasa, apatah lagi ekonomi. Inisiatif ini sebaliknya lahir daripada kegusaran dan kesedaran yang tulen berkaitan tanggungjawab bersama sebagai warganegara ke atas situasi semasa negara kita yang sedang bergolak dan tidak tentu arah.


Kami percaya, Yang Berhormat Menteri mampu untuk bersetuju bahawa penglibatan belia dalam memastikan perkembangan negara harus bukan sahaja terhad kepada aktiviti yang bersifat non politikal, sebaliknya juga aktiviti yang bersifat politikal. Apabila kemelut ekonomi dan sosial yang sedang merebak hari ini berakar daripada pergulatan politik semasa, maka wajar agar golongan belia mengambil sikap dan memberi sumbangan bersifat politik agar kemelut yang melanda ini dapat diuraikan. Sikap dan sumbangan dalam menguraikan kemelut politik ini juga harus lahir daripada kesedaran yang berpaksikan perbincangan yang adil dan demokratik, diskusi yang matang dan ilmiah, serta resolusi yang tuntas dan holistik. Atas sebab yang demikian, Kongres ini dipanggil agar cita-cita tersebut dapat dicapai.


Maka, suka untuk kami menyatakan bahawa Kongres amat berbesar hati jika, atas kapasiti sebagai Ketua Pemuda UMNO Nasional, organisasi politik belia terbesar negara; Yang Berhormat Menteri meluangkan masa untuk menjadi sebahagian daripada Kongres pada 17-19 Februari akan datang. Biarpun sejak dilancarkan, kami masih belum menghantar sebarang jemputan rasmi kepada mana-mana pimpinan belia daripada parti politik, beberapa pimpinan sudah pun menyatakan komitmen untuk bersama dengan Kongres ini. Diharap agar Yang Berhormat Menteri tidak ketinggalan untuk ikut serta, seterusnya menyumbang sama kepada cita-cita menyelamat dan membangunkan belia serta negara kita.


Di akhir kenyataan, adalah menjadi komitmen kami untuk memastikan Kongres berjalan dengan baik dan positif. Maka adalah wajar agar Yang Berhormat Menteri juga memikul komitmen yang sama dengan memastikan terutamanya kerajaan yang diwakili oleh Yang Berhormat Menteri juga dapat menerima inisiatif ini dengan penuh positif.

Suka untuk kami umumkan, laman web rasmi kami sudah boleh diakses. Sila layari www.demimalaysia.net untuk sebarang info serta mendaftar sebagai salah seorang peserta KONGRES ANAK MUDA MALAYSIA 2017 (#KAMM2017).


Terima kasih.


Dikeluarkan bagi pihak Jurucakap Demi Malaysia:

Anis Syafiqah, Adam Adli, Amir Abd Hadi, Chan Tsu Chong, Rashida Kamal (Wakil Sabah), Simon Seah (Wakil Sarawak), Mia Yusri (Wakil Komuniti Orang Asal).

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.