© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

Bakul Sampahkan Sahaja Bahasa Kebangsaan

Updated: May 20, 2019

Oleh: Amir Abd Hadi


Saya punya beberapa kawan dari luar negara. Ada dari Asia Tenggara, Timur, juga dari negara Eropah.

Kadang bila mereka datang ke Malaysia, sudah pasti banyak perkara yang mereka ingin pelajari, tentang sosio-budaya masyarakat setempat, tentang keadaan politik dan sebagainya. Maka banyak pula soalan yang diutarakan.

“Why did you use english with your fellow Malaysian?”

Ini di antara soalan yang biasa. Kadang bila malas untuk membahaskan perkara ini, aku cuma sekadar menjawab;

“Because I want to be respectful”

Sudah tentu bila ada rakan yang tidak boleh berbahasa Melayu, apatah lagi mereka yang datang dari luar negara, untuk menghormatinya, kita tidak akan bercakap dalam bahasa yang tidak difahami olehnya, bila dia bersama.

Cuma selalunya, ia lebih sekadar itu. Ada dua lagi sebab lain; 1) Kerana kita sendiri ingin memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris dengan mempraktikkan penggunaannya sehari-hari, dan 2) Kerana kawan kita sendiri, seorang rakyat Malaysia, tidak mampu berbahasa kebangsaan dengan baik.

Bila kadang aku berikan jawapan ini, mereka akan sedikit terkejut. Masakan seorang rakyat Malaysia tidak mampu berbahasa kebangsaan?

Kita hidup dalam negara yang berbilang bangsa. Melihat semula lembaran sejarah, sudah pasti, secara mudahnya kita boleh sahaja meletakkan kesalahan sepenuhnya pada dasar ‘pecah perintah’ yang di laksanakan penjajah Inggeris, sebelum dasar ini diteruskan oleh pemerintah selepas merdeka.

Namun sikap prejudis muncul di atas banyak faktor. Antaranya, adalah kegagalan kita untuk berkomunikasi di antara satu sama lain. Ia mewujudkan pemisahan, serta perasaan kurang senang yang tidak sepatutnya wujud, yang hadir kerana kita tidak pernah cuba untuk berkomunikasi di antara satu sama lain.

Dalam bidang ilmu linguistik, tatabahasa bukan faktor untuk mengukur kejayaan dalam berkomunikasi. Yang utama, adalah apabila kita saling memahami apa yang ingin disampaikan.

Namun, saya fikir, itu terpakai untuk bahasa ke-2 atau bahasa ke-3. Bahasa kebangsaan tidak sepatutnya dipandang enteng sebegitu. Ia tidak sekadar tentang kejayaan untuk berkomunikasi. Bahasa kebangsaan menunjukkan jatidiri sesebuah bangsa. Ia membezakan kita dengan bangsa lainnya.

Ada pula di kalangan ‘pejuang rakyat Malaysia’, yang seringkali mengkritik apabila kenyataan-kenyataan dikeluarkan dalam bahasa kebangsaan, tanpa terjemahan bahasa Inggeris, kerana pejuang rakyat Malaysia ini tidak mampu berbahasa kebangsaan, dan tidak mahu pula mempelajarinya.

Apabila ramai mengkritik pelantikan Peguam Negara; yang tidak mampu berbahasa kebangsaan dengan baik, ramai dari kita, dalam kelompok masyarakat sivil, yang tidak gembira. Ada pula di kalangan kita yang menganggap kritikan itu bersifat perkauman.

Ada pula yang lainnya mempersoal; “bagaimana jika Peguam Negara di Perancis tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaannya dengan baik, adakah beliau akan diterima menjawat jawatannya?”. Berani saya katakan, jawapannya, tidak.

Malah kegagalan untuk menguasai bahasa kebangsaan, mewujudkan persoalan (yang saya sendiri tidak setuju dengannya) sama ada, individu itu benar-benar ikhlas untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat; Bangsa Malaysia. Isu bahasa adalah salah satu persoalan penting bagi memecah ‘persoalan nasional’ yang tidak terjawab sejak pembentukan negara-bangsa Malaysia.

Ramai pula hari ini yang mentertawakan mereka yang tidak mampu berbahasa Inggeris dengan tatabahasa yang baik, namun dalam masa yang sama gagal pula bertutur dalam bahasa kebangsaannya sendiri.




BAHASA ILMU

Bahasa Melayu; yang merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia, dianggap sebagai bahasa kelas ke-dua. Bahasa bagi mereka yang dianggap sebagai lemah penguasaan ilmunya. Lalu usaha memperbaiki penguasaan bahasa kebangsaan ditinggalkan.

Malah pandangan ini diperkuatkan lagi, dengan tingkah laku bodoh mereka yang kononnya ‘pejuang bangsa’. Maka sudah tentu antara lain, wujud kebencian, pada apa-apa sahaja yang dilabel sebagai ‘Melayu’.

Saya fikir penting untuk kita memecahkan stigma ini. Tingkah laku bodoh mereka yang melabel diri sebagai ‘pejuang bangsa’ ini tidak sepatutnya diletakkan di bahu semua Melayu. Kita tidak boleh pula membiarkan mereka terus memegang naratif.

Kebencian kita pada mana-mana parti politik, UMNO sebagai contoh, sebagai sebuah ‘parti Melayu’, tidak boleh membuatkan kita membenci kesemua Melayu, atau apa-apa sahaja yang berkait dengannya.

Hal ini, sehingga tahap, ramai yang takut untuk memecahkan persoalan penting pembentukan negara-bangsa ini, kerana takut dilabel rasis.

Untuk berlaku adil, kegagalan kita untuk menghasilkan karya-karya besar ilmu, juga kegagalan kita menterjemah karya besar dunia, membawa kepada anggapan negatif terhadap bahasa kebangsaan, sebagai bahasa ilmu.

Sudah pasti, tanpa penguasaan bahasa Inggeris yang baik, kita tidak mendapat akses kepada banyak karya ilmu dunia. Kita hanya bergantung pada buku, penulisan dan karya sedia ada yang boleh dikata sedikit jumlahnya. Belum lagi dikira jumlah buku yang telah ‘diharamkan’.

Berbeza dengan negara seperti di Indonesia, mereka menterjemah hampir semua buku dalam bahasa kebangsaan.

Kesempatan untuk ke Taiwan tempoh hari, membawa saya ke sebuah kedai buku disana.

Hampir semua buku di dalam kedai buku tersebut, sama ada ditulis, atau diterjemah kedalam bahasa kebangsaan Taiwan. Hanya terdapat satu bahagian di dalam kedai buku tersebut di dalam ‘bahasa asing’, yakni bahasa Inggeris.


BAHASA RAKYAT

Kita wajib sama-sama mengangkat bahasa kebangsaan. Kita juga wajib menghormati dan menggalakkan ‘bahasa ibunda’ yang lain, yakni bahasa Mandarin, Kantonis, Tamil dan lainnya.

Sudah pasti kita mesti meningkatkan kebolehupayaan berbahasa Inggeris; termasuk diri saya sendiri, yang juga merupakan bahasa dunia.

Bahasa bukan satu-satunya pemecah benteng pemisah diantara kita, tetapi merupakan salah satu faktor besar yang dapat mengikat kita sebagai sebuah bangsa, bangsa Malaysia.

Kerajaan, melalui dewan bahasa, diharap dapat memperbanyakkan usaha, termasuk memberikan geran-geran, bagi menterjemah lebih banyak karya agung dunia.

Kita juga, di dalam masyarakat sivil, mesti berusaha mengangkat bahasa kebangsaan, agar prejudis dapat terhapus, dan mesej, dapat disebar luas.

Bahasa jiwa bangsa.



Amir Abd Hadi adalah Setiausaha Agung Liga Pemuda Malaysia

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.