© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

Calon Sokongan Liga Pemuda

17 April 2018

Untuk Hebahan Segera


Calon Sokongan Liga Pemuda


Liga Pemuda Malaysia merupakan sebuah gabungan yang menghimpunkan anak muda daripada pelbagai latar belakang. Bermula dengan dengan kempen Demi Malaysia yang telah menggerakkan himpunan Tangkap Najib pada 1 Ogos 2015 sebelum ini, kami terus bergerak ke hadapan dengan penganjuran Kongres Anak Muda Malaysia yang telah berlangsung pada 13 dan 14 Mei tahun lalu (2017). Bertitik tolak daripada Kongres ini, Liga Pemuda Malaysia ditubuhkan sebagai hub gerak kerja bersama anak muda Malaysia.

Menjelang Pilihanraya Umum ke 14 yang semakin hampir tiba, Liga Pemuda Malaysia menegaskan pendirian berikut ;


1. Liga Pemuda Malaysia mendokong idea bahawa Malaysia memerlukan satu perubahan holistik bagi memulihkan negara tercinta ini yang telah sekian lama ditadbir secara tidak pro-rakyat. Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional selama lebih 60 tahun telah mewujudkan banyak polisi yang menjejaskan kehidupan rakyat seperti perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pemansuhan subsidi barangan keperluan asas seperti Petrol, penggubalan undang-undang yang mencabuli Hak Asasi Manusia seperti SOSMA, POCA, POTA dan Akta Perhimpunan Aman (PAA), selain masih mengekalkan Akta Hasutan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Barisan Nasional juga perlu bertanggungjawab atas kepincangan urustadbir sehingga berlakunya skandal membabitkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah menyebabkan imej Malaysia tercalar di mata dunia. Begitu juga dengan salah laku kewangan yang boleh menyebabkan insitusi rakyat terjejas seperti yang berlaku terhadap FELDA dan MARA.


2. Dalam usaha beralih kepada sebuah Kerajaan yang lebih baik, Liga Pemuda Malaysia menzahirkan sokongan terhadap Pakatan Harapan sebagai gabungan politik alternatif bagi mengambil alih pentabiran negara. Liga Pemuda Malaysia juga menganggap pertembungan dalam Pilihanraya Umum ke 14 hanya pertembungan dua penjuru iaitu antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Oleh itu Liga Pemuda Malaysia menyeru parti-parti Pembangkang yang lain untuk bersatu dan membentuk satu front di bawah Pakatan Harapan bagi mengelak pertembungan banyak penjuru yang merugikan.


3. Liga Pemuda Malaysia mengalu-alukan pengumuman calon-calon anak muda oleh Pakatan Harapan baru-baru ini. Pemilihan calon-calon anak muda ini penting bagi memastikan suara anak muda akan dapat diangkat, didengari seterusnya diambil kira dalam pembikinan polisi-polisi negara yang akan datang. Liga Pemuda Malaysia juga mengharapkan Pakatan Harapan lebih berani untuk menampilkan lebih ramai anak muda dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Liga Pemuda Malaysia percaya Pakatan Harapan memiliki ramai potensi-potensi baru dan muda yang boleh dikehadapankan sebagai calon Pilihanraya.


Justeru, sebagai komitmen Liga Pemuda Malaysia dalam membantu merealisasikan perubahan dalam Pilihanraya Umum ke 14, Liga Pemuda Malaysia menggariskan tindakan berikut ;


1. Liga Pemuda Malaysia akan mewujudkan Deklarasi Bersama antara calon-calon anak muda Pakatan Harapan dan Liga Pemuda Malaysia bagi mengangkat Deklarasi Kongres Anak Muda Malaysia 2017 sebagai agenda perjuangan sekiranya calon berkenaan berjaya memenangi kerusi yang ditandingi dalam PRU 14.

2. Dalam usaha merealisasikan cita-cita untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik, dan menamatkan cengkaman rejim yang ada hari ini, Liga Pemuda Malaysia berpandangan bahawa satu-satunya jalan keluar adalah wujudnya gabungan politik yang utuh untuk dijadikan pilihan alternatif kepada rakyat yang memilih. Oleh demikian, Liga Pemuda Malaysia sedia menzahirkan sokongan kepada satu-satunya gabungan yang menepati syarat tersebut hari ini iaitu Pakatan Harapan. Kami turut berharap, agar parti-parti pembangkang lain, yang turut berkongsi aspirasi yang sama dapat bersama-sama dengan gabungan ini lantas mengelakkan pertembungan sesama sendiri yang hanya menguntungkan rejim.


3. Liga Pemuda Malaysia juga akan menyediakan sistem sokongan kempen digital bagi membantu calon-calon ini menyebarkan maklumat sepanjang musim Pilihanraya Umum ke 14.


4. Liga Pemuda Malaysia juga akan menghantar sekurang-kuranya dua (2) petugas tetap bagi membantu jentera calon-calon yang berkenaan di peringkat lapangan.


5. Bagi menyediakan sokongan kewangan, Liga Pemuda Malaysia dengan ini juga melancarkan kutipan dana awam bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk turut menyumbang dalam memenangkan calon-calon anak muda ini. Sumbangan dana boleh dibuat ke


"TABUNG CALON PEMUDA PRU-14" Maybank (LENSA trainings & Consultancy) 512745506143


Oleh itu dalam sidang media hari ini, Liga Pemuda Malaysia menjemput 4 calon anak muda yang telah diumumkan oleh Pakatan Harapan untuk menanda tangani Deklarasi Bersama Anak Muda sebagai tanda sokongan dan komitmen calon-calon ini terhadap Deklarasi Kongres Anak Muda Malaysia 2017.


Dikeluarkan oleh

JK Pusat Liga Pemuda