© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

Dr Maszlee Calon Terbaik Presiden UIAM?

Oleh: Amin Mubarak


Saya terpanggil untuk menulis sedikit berkenaan isu perlantikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM. Baru-baru ini memang tular seluasnya berkenaan perlantikan beliau sebagai Presiden. Ada yang bergembira dengan perlantikan itu namun ramai juga yang tidak bersetuju dengan perlantikan tersebut.


Saya antara pelajar UIAM yang mengikuti buku, thesis dan artikel beliau. Memang selalu saya mengambil point of view Dr Maszlee untuk memahami beberapa isu semasa, terutama yang berkait dengan agama dan politik. Buku-buku seperti 'Good Governance: A Critical Introduction, Generasi Kedua Politikal Islam', sudah pun dibaca termasuklah thesis dan artikel beliau seperti 'Rethinking The Role Of Islam In Malaysian Politics : A Case Study Of Parti AMANAH Negara'. Kepakaran beliau dalam memberikan pendapat tentang isu politik, pendidikan, keadilan dan agama memang tidak boleh dinafikan lagi.


Memahami Kebebasan Akademik dan Budaya Kerajaan Lama


Setelah tularnya Perlantikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM, perkara pertama yang dilihat ialah Manifesto Pakatan Harapan, kenyataan rasmi Dr Maszlee sebelum ini, Perlembagaan UIAM, kenyataan rasmi UIAM, pendapat senior, pendapat pensyarah UIAM sendiri serta idea-idea yang dibawa Dr Maszlee berkenaan academic freedom dan good governance.


Saya perlu mengakui bahawa kita semua boleh bersetuju dan menerima pelantikan Dr Maslee jika didasari dengan latar belakang beliau, profesionalisme yang beliau ada ditambah pula dengan kenyataan bahawa beliau tidak akan menerima peruntukan 0.5 Juta daripada UIAM. Seperti kenyataan politiknya, ‘menjimatkan 0.5 Juta kepada UIAM.’


Namun kita semua kena memahami prinsip kebebasan akademik kepada universiti. Professor Awang Had Salleh di dalam syarahan beberapa dekad yang lalu menegaskan bahawa tugas utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya. Di sini kita lihat untuk menemukan kebenaran dan perbaharuinya perlu ada persekitaran yang terbuka dan bebas ditambah dengan budaya perdebatan idea dan pemikiran.


Walau bagaimanapun, budaya ini tidak dapat dilakukan dengan baik jika ada kawalan yang matlamatnya berbeza. Selalunya memang kebebasan akademik akan jadi isu hangat apabila dikaitkan dengan politik. Kerana jika ada lantikan politik didalam universiti ia akan mendatangkan satu kesan yang besar di dalam pengurusan Universiti. Itu yang saya maksudkan sebagai ‘kawalan yang matlamatnya berbeza’.


Lantikan politik di dalam universiti ini juga merupakan budaya lama daripada kerajaan UMNO/Barisan Nasional di mana bagi memastikan ghanimah di dalam institusi diagihkan kepada pihak mereka dan menutup suara-suara pensyarah dan mahasiswa yang lantang, mereka melantik ahli-ahli mereka di jawatan tertinggi dalam pentadbiran universiti, yang secara jelas memperlihatkan konflik kepentingan. Namun ini sekadar penerangan bagaimana budaya ini diamalkan, saya yakin Dr Maszlee cukup kuat menentang budaya ini.


Tambahan pula jika kita lihat semula kepada perlembagaan UIAM berdasarkan Artikel 26 di dalam Perlembagaan UIAM, jelas menunjukkan Presiden antara autoriti yang terbesar di dalam setiap keputusan yang dilakukan oleh pihak universiti. Sebagai contoh, Artikel 26(c) memperuntukkan Presiden sebagai autoriti yang berkuasa melantik Timbalan Rektor.


Justeru, sekiranya jawatan Presiden ini disandang orang yang berlatar belakang politik, ini memberi gambaran cukup jelas akan adanya campur tangan politik dalam pengurusan universiti. Saya masih tidak memahami bagaimana sesetengah pihak mengatakan lantikan presiden ini atas dasar ceremonial tidak memberi impak dan sebagainya, sedang sudah terang lagi bersuluh ia memberi kesan yang besar. Kebebasan akademik ini selaras dengan 'Janji 50' di dalam buku Manifesto Pakatan Harapan (m/s 134), mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.


Strategi Dr Maszlee Membawa Mesej Islam Progresif dan Rahmatan Lil ‘alamin


Saya juga melihat perlantikan Dr Maszlee dari sudut yang berlainan. Selepas Era Malaysia Baharu ini kita menyaksikan pertembungan hebat antara pemikiran Melayu-Muslim, di mana kita lihat dua corak spektrum pemikiran diantara liberal (terbuka) dan konservatif. Pagi tadi saya ada membaca beberapa perbahasan berkaitan perlantikan Dr Maszlee sebagai Presiden UIAM, tulisan Prof Tajudin Rasdi, yang mana didalamnya beliau juga ada menyentuh tentang isu ini.


Dahulunya UIAM pernah didatangi dengan seorang Presiden, Anwar Ibrahim, yang membawa satu bentuk pemikiran yang terbuka dan berpandangan jauh yang lebih universal dengan nilai nilai islam.


Visi Malaysia Baharu, iaitu membawa satu sudut pandang Islam yang lebih progresif mungkin sukar dicapai jika kita masih direnggut dengan pemikiran Islam yang terlalu konservatif dan rasis yang melampau oleh pihak pembangkang. Menurut Prof Tajudin , Dr Maszlee adalah ‘Pembawa Kedua’ untuk semangat dan gelombang Islam yang lebih progresif.


Pertempuran di era Malaysia Baharu ini bukan setakat pertempuran dari segi inisiatif terbaik pada rakyat, tetapi ia juga pertempuran corak pemikiran Melayu-Muslim. Dengan kita menerima berita bahawa pihak pembangkang kini sudah bersatu, bertambah lagi cabaran untuk kerajaan berhadapan dengan satu gerakan politik yang cukup konservatif pada agama dan bangsa. Muncul pula fenomena ustaz, PU dan Dai'e yang tidak mempunyai pandangan kritis tentang agama, dan pegawai agama yang berpikiran sempit.


Menurut Prof Tajudin juga, satu-satunya senjata untuk memerangi budaya ektremisme yang tertanam dalam era kerajaan baharu ini adalah dengan membersihkan UIAM dan Jakim. Selama 20 tahun UIAM telah di UMNO-nisasikan dengan budaya kotor dan pemikiran yang tertutup, pemutihan perlu dilakukan semula pada budaya akademik dan pengurusan UIAM supaya institusi ini dapat mengetuai perjuangan melawan ektremisme bangsa dan agama di era ini.


Dr Maszlee adalah calon terbaik untuk mengepalai perjuangan ini. Beliau telah membuktikan dirinya sebagai ahli akademik yang sebenar dengan mencabar realiti keadaan umat Islam di Malaysia, seterusnya membawa mesej Rahmatan Lil ‘Alamin seperti termaktub di dalam lagu UIAM.


Kesimpulannya, raikanlah kepelbagaian di dalam isu ini. Jangan dihalang rakan-rakan yang mempunyai perbezaan pendapat dengan kita. Jangan dicemuh rakan-rakan yang mempunyai inisiatif tersendiri untuk mengekspresikan isu ini.


Dr Maszlee sendiri pun bersetuju bahawa era Malaysia baharu ini perlu diraikan kebebasan bersuara. Fahami dan telusuri ini dengan fakta dan berhemah. Raikan perbezaan prinsip yang ada.


Kegagalan terbesar didalam Malaysia Baharu ini ialah kita masih gagal mendidik orang awam tentang kepentingan meraikan perbezaan pendapat dan memahami isu dengan baik tanpa dihiasi dengan emosi semata-mata. Saya punyai prinsip saya, anda juga punyai prinsip anda. Kita harus saling menghormati.


AMIN MUBARAK adalah aktivis Belia Harmoni Gombak.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.


Rencana ini ditulis sebelum perjumpaan Dr Maszlee dan aktivis mahasiswa