Kenyataan Media Pengerusi Liga Rakyat Demokratik

22/02/2020 Untuk Hebahan Segera


Kenyataan Media Pengerusi Liga Rakyat Demokratik


Lima tahun dahulu, sekumpulan anak muda dari pelbagai latar yang hanya berbekalkan kesedaran politik bergabung dan menubuhkan sebuah koalisi longgar dipanggil Demi Malaysia.


Penubuhannya pada 2015 tersebut membawa kepada beberapa siri peristiwa - dari pertemuan dan meja bulat dengan pemain-pemain politik negara bagi mencapai beberapa resolusi, kongres dan persidangan yang mengumpulkan pelbagai buah fikiran dan keazaman anak-anak muda negara, sehinggalah kepada aksi-aksi jalan raya serta protes kreatif yang menyaksikan anak-anak muda yang bergabung ini berhadapan tangkapan, penahanan, pendakwaan, dan hukuman oleh pemerintah terdahulu.


Pengalaman-pengalaman terkumpul ini membulatkan tekad buat mereka untuk akhirnya berpayung di bawah sebuah perkumpulan yang lebih jelas aturannya di bawah nama Liga Pemuda Malaysia pada 2018.


Melalui Liga Pemuda, tekad politik mereka dituntaskan sesuai keadaan semasa dengan menyatakan sokongan dan dokongan buat beberapa orang calon muda terpilih dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Tumbangnya rejim lama membuka laluan buat calon-calon muda ini diangkat mewakili rakyat di peringkat legislatif negara dan negeri masing-masing.


Sebilangan yang lain turut mengisi kemenangan dengan menggalas tanggungjawab yang selama ini tampak asing - mengatur urusan negara yang baru dilahirkan semula. Kemenangan dan tanggungjawab mereka yang didokongi Liga Pemuda tersebut tidak menjadi titik tamat kepada usaha panjang pertubuhan ini. Ia sebaliknya membawa kepada lipatan dan arah tuju baharu. Untuk beberapa ketika, kira-kira dua tahun lamanya, Liga Pemuda melalui proses pembelajaran semula.


Zaman baharu, cabaran baharu, tekad baharu.


Tahun ini, Liga Pemuda akhirnya diperakui dan diberi lampu hijau untuk bergerak sebagai pertubuhan yang absah. Bagi mencerminkan tekad baharu, nama Liga Rakyat Demokratik diangkat sebagai wadah baharu. Nama ini sesuai dengan cita-cita pertubuhan untuk menjadi landasan yang lebih luas dalam memperjuangkan sebuah masyarakat yang lebih progresif dan demokratik. Kepimpinan yang lebih tersusun di peringkat pusat telah dipilih untuk menerajui tiga tahun pertama Liga Rakyat Demokratik. Kepimpinan di peringkat pusat ini akan disusuli pula dengan kepimpinan di peringkat negeri kelak. Semuanya direncana agar dalam tiga tahun pertama ini, Liga Rakyat Demokratik dapat bertapak bukan sahaja di ibu kota, sebaliknya seluruh negara.


Isu-isu berkait kepentingan rakyat dan hala tuju negara - kemiskinan, hak kaum pekerja dan pelajar, kebajikan dan kesihatan awam, hak asasi manusia, penzahiran demokrasi, perpaduan dan jurang antara kaum dan agama bakal jadi tema-tema yang diangkat sepanjamg tiga tahun ini.


Mewakili keluarga besar Liga Rakyat Demokratik, saya mengajak teman-teman yang berkongsi cita-cita yang sama untuk ikut bergabung dan bersetiakawan. Pandangan dan kritik akan terus dirai, idea dan cadangan biar diusahakan bersama. Negara yang baru dilahirkan semula ini jauh dari sempurna dari apa yang diimpikan selama kita berjuang.

Menanti hanya pemerintah untuk melakukan perubahan juga tidak akan membantu impian kita melihat negara yang lebih baik terlaksana sempurna. Dalam zaman yang jauh lebih mencabar dari yang pernah kita lalui sebelum ini, tidak keterlaluan jika diperikan bahawa semata-mata mengaduh dan berputus asa hanya terus merugikan kita.


Di luar sana, ada seribu satu bakat dan kezaman yang boleh dicurahkan oleh dan buat masyarakat. Kalau pun Liga Rakyat Demokratik hanyalah sebuah landasan kecil - ia tetap adalah sebuah landasan, dan sifatnya tetap terbuka buat semua.


Menjulang titipan Almarhum Burhanuddin Al-Helmy, di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka; bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka.


Semoga penubuhan Liga Rakyat Demokratik ini dapat mengisi kelompongan yang disedari dan tak disedari, serta seterusnya membawa manfaat buat masyarakat dan negara.


Terima kasih.


Adam Adli Abd Halim Pengerusi Liga Rakyat Demokratik

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.