© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

KENYATAAN UMUM: 14 NOVEMBER 2018 - PTPTN: KOTAKAN JANJI, TEGAKKAN PRINSIP

Selepas beberapa pertukaran dalam media sosial di antara banyak pihak berkaitan isu PTPTN terutama sekali atas cadangan terbaharu yang dibentang dalam Belanjawan 2019 sehingga menjadi polemik, sebuah pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah diadakan pada 12 November 2018.


Dihadiri oleh wakil-wakil dari kumpulan pendesak termasuk Liga Pemuda Malaysia dan Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP). Pertemuan berlangsung dengan tujuan mendapatkan penjelasan dan meneruskan desakan kepada pihak menteri dan kerajaan berkaitan isu seputar PTPTN dan Pendidikan Percuma.


Dalam pertemuan dua jam tersebut, perkara yang diutarakan sebagai sebuah keperluan mendesak adalah seperti berikut:


1. Menolak cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2019 yang menetapkan kadar RM1,000.00 sebagai gaji permulaan untuk pembayaran semula.


Dalam hal ini, kami bertegas dengan matlamat kami bahawa PTPTN perlu dimansuhkan, tetapi berkait dengan penyelesaian isu jangka masa pendek, kerajaan perlu kembali kepada angka RM4,000.00 gaji permulaan bayaran semula seperti yang dinyata dalam manifesto, dengan kadar bayaran bermula sebanyak 4% sehingga ke 15% apabila mencecah RM10,000.00 dengan kenaikan kadar peratusan mengikut kiraan kuantum yang sesuai. Kami juga meminta kerajaan untuk menghapuskan faedah PTPTN sebagai salah satu langkah penyelesaian awal.


Kami dimaklumkan bahawa cadangan pembayaran semula pada gaji RM1,000 merupakan cadangan kontingensi yang diusul oleh PTPTN untuk menyelesaikan kemelut ini. Respon menteri adalah usul ini dibawa kepada perhatian pasukan ekonomi dan lembaga PTPTN dengan jaminan bahawa menteri akan mengarahkan PTPTN memberi perhatian khusus kepadanya. Menteri turut menyatakan keperluan untuk perkara di atas mendapat perhatian dari kementerian lain termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.


2. Pendidikan tertiari percuma seharusnya dijadikan matlamat kerajaan dengan disusuli perancangan dan tindakan, selain menteri harus menyatakan prinsip beliau ke atas agenda ini.


Sesuai dengan prinsip yang turut pernah dipersetujui gabungan Pakatan sebelum ini, pendidikan adalah sektor khidmat awam yang bertujuan untuk memenuhi hak asasi rakyat, bukan untuk menjadi tempat mengaut keuntungan dari keperluan pelajar.


Meninggikan aras gaji pemotongan semula akan mengurangkan beban di bahu pelajar, walaubagaimanapun PTPTN dilihat sebagai sebuah entiti kewangan yang akan gagal dalam premisnya sendiri atas kegagalan sistemnya. PTPTN tenggelam dalam lambakan hutang kerana salah satu sumber kewangan PTPTN adalah kaum pemodal swasta yang mengeluarkan dana dengan tujuan mengambil untung dari kadar bunga atau faedah. Memandangkan PTPTN adalah satu-satunya badan pinjaman yang ada, pelajar yang meminjam menjadi mangsa atas sistem ini apabila mereka perlu menanggung faedah-faedah tersebut.


Adalah perkara yang tidak masuk akal, apabila graduan universiti diminta untuk membayar penuh jumlah PTPTN ketika sebahagian dari pelajar lain tidak mungkin mendapat pekerjaan dengan bayaran yang setimpal atau berpenat lelah untuk menjaga ibubapa dan keluarga. Ianya sesuatu yang mustahil jika PTPTN ingin berterusan menjadi agen kewangan yang stabil, sambil menjalankan polisi bayaran balik yang tidak berperikemanusiaan.


Kami mengingatkan Kementerian bahawa PTPTN perlu di nasionalisasikan, dipisahkan dari pemodal dari sektor swasta dan menggunakan kewangan hanya dari bajet yang disediakan. Memandangkan mereka adalah penerima manfaat dan hasil dari sektor pendidikan hari ini, percukaian terhadap badan-badan korporat mestilah dilaksanakan. PTPTN dan kegagalannya mestilah akhirnya diganti dengan pendidikan percuma yang datang dari hasil percukaian.


Sistem yang sedia ada termasuk PTPTN juga menyumbang kepada kemunduran fungsi pendidikan. Dengan demikian seharusnya menteri yang mewakili sebuah kerajaan baharu perlu menyatakan prinsip yang jelas berkaitan isu ini. Pada masa yang sama kerajaan perlu ada pelan yang strategik menjurus matlamat mengantikan PTPTN dan badan pinjaman lain kepada pendidikan percuma.


Respon menteri adalah beliau tidak mahu memberi komitmen terlalu awal sebelum isu-isu lain diselesaikan, namun beliau tidak menyatakan sebarang tentangan terhadap agenda tersebut. Kerajaan perlu mempersiapkan negara dengan matlamat-matlamat yang seumpamanya dengan kadar segera. Kecenderungan untuk mengelak dari membuat perancangan jangka panjang menyebabkan tiada sebarang perkembangan dapat dilihat.


3. Menentang polisi penswastaan pendidikan dan salah laku IPTS


Kami juga menegaskan menentang polisi penswastaan dalam Pendidikan kerana ia masih berterusan di bawah kerajaan baharu dan ini sebuah isu yang amat serius. PTPTN dilaksanakan pada zaman pembukaan sektor pendidikan awam bersaing dengan sektor pendidikan swasta pada 1990an oleh Dr Mahathir Mohamad.


Ia akuirnya menjadi jalan mudah bagi pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendidikan di IPTS. PTPTN memberi jaminan kewangan kepada IPTS, dan sektor ini berkembang pesat selama lebih 20 tahun atas pendanaan PTPTN. Namun realitinya, kebanyakan kolej-kolej ini hanya menawarkan kursus 'sub-par' yang tidak diiktiraf dan memerangkap pelajar yang datang dari kumpulan B40 untuk terus memberi untung kepada kolej-kolej 'bangunan kedai’ ini.


Polisi penswastaan pendidikan yang masih berterusan dalam kerajaan baru ini adalah membimbangkan. Cukup malang lagi apabila, kementerian dan pentadbiran universiti menafsirkan 'autonomi universiri' sebagai kebebasan yang memisahkan pendidikan dari belanjawan.


Pendidikan tinggi perlu dibiayai oleh dana awam. Penakrifan autonomi yang sebenar adalah kebebasan untuk memilih bagaimana menguruskan kewangan dan tidak menghadkannya kepada mereka yang berada dalam pentadbiran dan rakan kongsi korporat, sebaliknya dibuat secara demokratik oleh kakitangan dan para pelajar di universiti.


Sebarang unsur bermotifkan keuntungan mestilah dielak sekerasnya demi kemaslahatan pelajar dan kewangan negara. Kawalan kuasa termasuk had yuran IPTS mestilah diperketat. Kementerian memberi maklum balas bahawa hampir 30 buah kolej rumah kedai’ telahpun ditutup sejak mengambil alih kementerian. Kami menggesa kementerian untuk terus melaksanakan proses tersebut tetapi kementerian tidak dapat memberikan respon segera terhadap dasar penswastaan masa hadapan.


4. Mahasiswa yang hilang tempat di bawah kerajaan BN sebab berpolitik


Dalam isu lain, perkara yang turut ditimbulkan adalah status mahasiswa yang hilang tempat belajar di universiti disebabkan penglibatan dalam politik. Dalam isu ini, menteri memberi jaminan bahawa sesiapa yang pernah terjejas boleh membuat surat rayuan untuk belajar semula dan dilanjutkan kepada pentadbiran universiti serta Menteri Pendidikan.


5. Langkah seterusnya


Pertemuan ini membuatkan kami yakin bahawa masalah hutang PTPTN memerlukan penyelesaian yang drastik. Dalam membawa agenda pendidikan percuma, kami tegas bahawa kebajikan pelajar dan graduan tidak boleh dikorbankan demi kewangan negara sementara golongan kaya dan syarikat besar mendapat manfaat daripada mereka dan tidak juga disuruh ikat perut atau berkongsi beban.


Kami mengulangi tuntutan kami supaya Kerajaan memenuhi janji PTPTN pada gaji RM4000. Kami akan terus dengan penyusunan kami supaya para graduan dan pelajar dapat melawan penghinaan ini. PTPTN, Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Kewangan haruslah mencari keberanian untuk menjalankan reformasi struktur terhadap pembiayaan pendidikan di Malaysia, dan seterusnya menggerakkan negara ke arah pendidikan percuma.

Kenyataan bersama,


Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma(GMPP) dan Liga Pemuda Malaysia (Liga Pemuda)


Jurucakap media:

Adam Adli / Liga Pemuda (adamadli.pg@gmail.com) Bawani ks/GMPP