Malaysia Irredenta



Wenceslao Q. Vinzons adalah merupakan seorang nasionalis dan pejuang rakyat Filipina, yang berjuang bagi membebaskan Filipina dari penjajahan Amerika, dan turut ikut bergerila menentang pencerobohan Jepun di Filipina pada 1941. Beliau terbunuh ditusuk bayonet Jepun pada 15 Julai 1942.


Sebuah negara kesatuan Malaysia yang merdeka, menggabungkan seluruh penduduk di kepulauan Melayu telah lama dulu digagaskan oleh Jose Rizal, pejuang kemerdekaan Filipina, lama sebelum Malaysia terbentuk pada 1963. Sebagai pengikut Rizal, Vinzons meneruskan perjuangan tersebut, yang seterusnya menubuhkan "Perhempoenan Orang Melayoe", ketika beliau masih bergelar mahasiswa di Universiti Filipina. Persatuan ini seterusnya membentuk gerakan Filipina Muda, 3 tahun sebelum pembentukan Kesatuan Melayu Muda di Tanah Melayu.


Pada usia 22 tahun, pada tahun 1932, beliau menyampaikan pidato agungnya bertajuk "Malaysia Irredenta", yang mengungkapkan impiannya bagi menyatukan seluruh penduduk kepulauan Melayu kedalam sebuah "Malaysia yang bersatu", dari "paling hujung utara Semenanjung Melayu, sehingga setiap pantai pulau Polinesia yang paling jauh".


Berikut terjemahan pidato beliau;



Malaysia Irredenta

(Malaysia Raya)


Sebuah perbahasan untuk kesatuan Se-Malaya oleh Wenceslao Q. Vinzons


Kitaran jatuh dan bangunnya masyarakat telah ditentukan oleh kuasa dan ketentuan tuhan. Runtuhan puing-puing tembok istana dan sisa-sisa pergelutan oleh empayar-empayar berkuasa yang pernah berdiri menjadi bukti hukum Ilahi ini. Dalam percubaan sia-sia untuk mencapai keabadian, manusia telah menyebarkan, melalui memorinya sebuah kemegahan peradaban yang telah hilang. Dia berpegang teguh dengan naluri kehidupan, pada benang yang paling halus yang menghubungkan masa kini yang memalukan dengan masa lalu yang megah dan mulia. Dia hidup di atas (memori) penaklukan dan peperangan oleh nenek moyangnya, dan dalam keghairahan imaginasinya, dia melabur dirinya ke dalam kemegahan yang pura-pura. Dia membina semula fikirannya dengan kebijaksanaan ayahnya. Dia telah menetapkan dirinya untuk tugas membina semula peradaban yang telah digesakan oleh sumber inspirasi yang tidak berhenti, kesan dari penebusan bangsanya.


Dalam perjuangan kita untuk memerdekakan diri dari kawalan asing, pada berabad-abad di mana suku kaum kita telah ditekan, pandangan politik kita juga telah dibatasi oleh sempadan negara yang sempit. Menjelang tahun-tahun surutnya (kuasa) rejim Sepanyol, para patriot kita yang telah tercerahkan membina semula sejarah kita dan membayangkan masa depan buat kita semua. Kita memecahkan diri sebagai sebuah negara yang bersatu dengan ikatan tradisi yang sama. Tiga puluh tahun telah kita tumpukan untuk mengukuhkan ikatan itu. Selama tiga puluh tahun, dengan pembangunan cara komunikasi, penubuhan sekolah-sekolah, pertumbuhan perdagangan dan perniagaan, dan eksploitasi sumber alam, kita telah memupuk kesedaran nasional kita dan menempa diri kita menjadi manusia yang akan jatuh dan bangun bersama sepanjang zaman-zaman yang mendatang.


Tetapi dalam tiga puluh tahun ini kita telah bergelut dengan masalah-masalah dalaman, peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam hubungan antarabangsa yang mana kita gagal sedari akan kepentingannya. Kita tidak memahami berulangnya perubahan dalam evolusi negara-negara yang telah mengubah Lautan Pasifik, menjadi pentas yang luas terbentang untuk drama dunia yang sedang berlangsung. Takdir bagi negara dan bangsa-bangsa yang berserikat di kepulauan samudra adalah berkait rapat dengan perihal dunia, di dalam penyesuaian semula politik yang luar biasa yang kini bermula di Timur Jauh (Far East). Pada tahap ini dalam sejarah nasional kita, marilah kita, dengan cita-cita yang besar, mempersiapkan diri sebuah tempat yang unggul dan kepemimpinan yang hebat di dalam dunia pengakhiran.


Bayangkan di dalam fikiran, puan-puan dan tuan-tuan, sebuah jambatan air yang memanjang batu demi batu, di antara empat benua dan terhubung dengan seluruh dunia oleh pusaran arus air yang sama luas. Terletak pada kawasan yang tidak terbatas ini titik-titik kecil yang sukar dilihat dengan mata kasar, dan di kelilingnya tanah besar dan gunung tinggi yang malah mengagumkan kamu, penciptanya sendiri. Diisi di pulau-pulau kecil ini orang-orang kecil berkulit sawo matang yang tidak menyedari besarnya ciptaan tentang mereka, jahil tentang bila dan dari mana mereka datang, bekerja seperti binatang untuk tuan-tuan asing, tanpa cita-cita - makanya tanpa masa depan. Kemudian berselindung di sekitar buat orang-orang ini jutaan orang-orang yang berani, bercita-cita tinggi, bangga dengan sejarah yang hebat, merancang buat penaklukan dunia, dan mencari mata-mata harimau kumbang yang lapar pada umat manusia yang tidak berdaya di tengah-tengah lautan. Dan kalian, tuan-tuan dan puan-puan, pemilik Lautan Pasifik pada abad ke-20, pusat bagi aktiviti, komersial dan politikal, persimpangan jalan di mana konflik bangsa-bangsa berkecamuk dalam segala amarahnya.


Kita berada dalam situasi di mana kita tidak dapat melepaskan diri dari komplikasi benua Asia. Dengan perlindungan yang ramah dari Amerika Syarikat, kita telah dibawa jauh dari konflik tersebut. Tetapi kita menipu diri sendiri apabila kita mengabaikan ketidakupayaan kita untuk menentang pencerobohan; kita membahayakan kepentingan anak cucu kita apabila gagal menyediakan pertahanan buat mereka; kita meminta-minta sumpahan abadi di kepala kita apabila kita meneruskan dasar pengasingan yang bertentangan dengan peristiwa yang biasa. Buat kuasa yang sama yang telah membawa pergi keterikatan Oriental, mungkin, dengan peningkatan minat dalam kekalutan Sino-Jepun, mendesak kita ke dalam konflik. Kita mendengar gemuruh revolusi. Gerombolan massa, dari Himalaya ke Pantai China, menggegarkan asas perintah lama dari segala sesuatu yang di hadapan di dalam perarakan umat manusia menuju milenium.


Tiga ratus juta orang India telah mengangkat taraf pemberontakan untuk merampas kuasa kerajaan dari kawalan asing. Mereka telah mengenepikan semua perbezaan, dan mengenal diri dalam satu tujuan yang sama. China, dengan perkadarannya yang besar, dengan empat ratus juta penghuninya, dan kekayaannya dalam sumber alam sedang menebus dirinya dari kekacauan perang saudara. Imperial Jepun membuat percubaan terakhirnya untuk memimpin benua Asia. Jika mereka berjaya dalam usaha (menakluk) Manchuria, mereka akan memiliki Asia Timur di kaki dan laut buat kekuasaannya. Jika gagal, mereka akan mengalihkan perhatian ke selatan dan mensasarkan satu-satunya mangsa yang tinggal, penduduk pulau-pulau samudra yang lemah dan terpecah-pecah, orang-orang kecil berkulit sawo matang yang tinggal di ratusan ribu pulau-pulau dari pantai Madagascar yang tidak mendatar ke tebing-tebing berbatu di Pulau Easter.


Saya telah menggambarkan buat kalian, malam ini, tuan-tuan dan puan-puan, dilema nasional kita. Kita tidak boleh mengabaikan besarnya masalah ini. Kita terletak pada kedudukan di mana tembakan dan api dari neraka akan turun dengan lebat seperti hujan di dalam perang Pasifik ini. Kita tidak berdaya (menghalang) atas sebab jumlah kita dan kekurangan peralatan perlindungan dan pertahanan. Dengan naluri lelaki terakhir yang mati dibawa pergi bersama alunan ombak, kita melihat pada air di sekeliling kita. Kita mengingat semula pengetahuan sejarah yang kian tersasar yang mengalir selama bertahun-tahun. Apakah pada masa lalu tidak ada bangsa Melayu Viking? Bukankah mereka penguasa laut dan pulau zamrud, terkenal dengan kecerdasan berpolitik? Adakah mereka tidak membezakan diri mereka dengan kepintaran dalam perang dan pencapaian dalam keamanan? Ingatan-ingatan ini mengingatkan kita tentang kemungkinan berdirinya sebuah negara yang menghimpunkan jutaan manusia ke dalam Republik Malaysia.


Tetapi orang-orang Melayu telah tidur dalam tidur yang terkutuk. Bukan untuk satu, atau berabad-abad, tetapi untuk apa yang nampaknya seperti selama-lamanya. Asal-usul mereka diselubungi oleh misteri. Mereka hanya memiliki tradisi yang datang dari laut. Sebuah teori hebat tetapi tidak mustahil akan menjadikan orang Melayu penduduk benua yang hebat di hamparan lautan yang telah tenggelam berabad-abad yang lalu. Mereka masih memiliki sisa-sisa ketamadunan yang dahulunya sangat maju; mereka mempunyai bahasa yang sangat membangun yang lebih tersebar luas dari bahasa Rom dan Yunani. Seseorang akan mewujudkan pertalian di antara Indian-Amerika, Polinesia, dan Melayu, dan persamaan yang jelas dalam bahasa, tradisi rumah di atas laut dan penyebaran umum, persamaan bentuk fizikal serta karakter secara umum dilihat menyokong teori ini. Ianya tidaklah tanpa asas untuk menyimpulkan bahawa kaum-kaum ini mungkin bersekutu dan pada suatu masa diluar ingatan manusia (pernah) berkongsi rumah yang sama.


Tetapi apabila air laut menenggelamkan benua mereka, ketika tidur nyenyak pada zaman purba menghentikan segala aktiviti, mereka perlahan-lahan jatuh dari tangga peradaban. Mereka kaum yang lebih bersatu dari orang India atau Cina, namun mereka tidak membentuk negara moden yang kuat. Pada asalnya satu dalam bahasa; kini mereka berbicara dalam dialek yang mengelirukan. Berpusatkan diri dalam falsafah mereka, ditindas dalam pengasingan yang panjang, tidak menghiraukan sejarah mereka yang hebat, mereka telah gagal membenihkan mimpi untuk sebuah Negara Bersatu yang bebas, Malaysia yang ditebus semula.


Sejarah bangsa kita telah ditandai oleh paparan sesekali kegeniusan nenek moyang kita yang terpencil. Di bawah pengaruh budaya Hindu, empayar Sriwijaya menyatukan wilayah yang luas dari Formosa ke Ceylon, dan merangkul ke selatan Jawa dan Maluku. Bangunan-bangunan megah di Sumatra dan istana-istana Angkor Thom adalah monumen abadi keagungannya. Ketika bangunnya empayar Sriwijaya, telah diikuti penaklukan yang lebih luas oleh kerajaan Majapahit. Tentera Melayu berperang melawan gerombolan Kublai Khan dan mendirikan penempatan di tempat yang jauh. Orang-orang Polinesia, juga, melalui waktu pembangunan-negara mereka, dan bila orang berkulit putih datang dengan Bible dan botol rum, dia mendapati hampir setiap pulau memiliki pemerintahan yang teratur. Hawaii memiliki sebuah perlembagaan sejak Kapten Cook mengkhianati layanan baik orang-orang Hawaii, Fiji, Tahiti dan Samoa setiap satunya memiliki kerajaan yang stabil sebelum datangnya para mubaligh Kristian. Orang-orang Melayu di Madagaskar telah menyatukan diri ke dalam sebuah kerajaan yang kuat dan telah membina lebih banyak gereja dari yang terdapat di Paris ketika kapal perang Perancis merampas kawasan tersebut atas nama Katolik Perancis. Tetapi orang kulit putih dengan prinsip mengagumkan tentang kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraannya, menindas pemerintah pribumi dan menggantikannya dengan pemerintahan asing. Dalam pada berdakwah tentang sebuah agama keamanan, dia memperkenalkan senapang dan bahan letupan; dengan niat untuk mempromosikan kebahagiaan manusia, dia menghadapi penentangan pribumi dengan api dan pedang, memusnahkan kampung-kampung dengan kapal-kapal perang dan meriam. Dia telah cuba memusnahkan sisa-sisa masa lalu pribumi dan menekankan keagungannya sendiri.


Dengan mengekalkan keperibadian kita melawan kesan berterusan dari pencerobohan fizikal dan budaya, kita telah berevolusi menjadi kaum yang sesuai untuk pembangunan negara dan pemerintahan sendiri. Kita mempunyai warisan penderitaan dan penganiayaan di bawah pemerintahan asing; warisan terbaik dari agama dan pemikiran barat dipaksa ke atas tradisi dan budaya terbaik orang Timur. Ditambah dalam kelebihan ini pemberian rahmat dari alam buat kita; tanah yang subur yang menunggu tangan-tangan pekerjanya; lombong-lombong emas, arang batu dan bijih besi kita yang mana pada masa ini memiliki lebih potensi dalam industri dari kekayaan yang kukuh. Malaysia yang bersatu menjangkau dari penghujung utara Semenanjung Melayu ke pantai New Guinea, dari Madagaskar ke Filipina dan ke pulau-pulau terpencil Polinesia, akan menjadi faktor yang kuat dalam dunia maritim. Pencapaian ini akan membebaskan kita dari keaiban orang-orang asing. Ia akan menafikan tuduhan salah bahawa kita ini tidak mampu mengorganisasi, sebuah kaum yang tidak punya kebolehan memerintah, menolak kerja keras dan tabiat kerajinan, boros dan sambil lewa dalam pengurusan, gemar menyabung ayam dan sukan kebudak-budakan, ketagih dengan judi, dan sama sekali tidak mempunyai sifat-sifat yang diperlukan bagi seseorang yang akan berada ditempat yang memegang tanggungjawab bagi keluarga besar bangsa.


Pelan yang saya usulkan pada kalian malam ini, tuan-tuan dan puan-puan, bukanlah sepenuhnya tanggapan yang baru. Ianya adalah keadaan asal sebelum rumah nenek moyang kita yang bertamadun ditelan ombak. Ia dilaksanakan dengan cara di mana empayar Sriwijaya dan Majapahit memerintah lautan. Ianya telah diusulkan oleh parlimen Hawai pada tahun 1879 dan disusun pada tahun 1898 oleh Apolinario Mabini dalam ideanya ‘Federacion Malaya’ (Gabungan Malaya).


Tuhan memberikan cabaran pada jutaan rakyat Malaysia. Ia menemukan gema pada satu-satunya negeri Melayu di Siam, disebarkan ke seluruh Negeri-negeri Selat, mengalir dengan lebih deras di Kepulauan Pasifik. Ia terekspresi apabila orang-orang Jawa menentang undang-undang tidak adil Belanda di Maluku; apabila Ketua Tamasese Samoa mencabar skuad penembak Inggeris; apabila Filipina memberontak melawan Sepanyol dan menentang pencerobohan Amerika. Ianya juga akan menemukan ekspresi, apabila kita akan memperluas visi melampaui sempadan wilayah kita, apabila setiap negara Melayu membebaskan dirinya dari keinginan ganjil orang tempatan, apabila setiap pulau-pulau kecil akan menggemakan nyanyian keagungan empayar yang dilupakan; ketika kita di dalam visi (mewujudkan) Negara Bersatu bekerja bersama untuk menerima bahasa yang sama dan mengatasi kelemahan-kelemahan kita, supaya dengan pembaharuan kekuatan kaum kita akan kita lahirkan sebuah nasionalisme baru, iaitu Malaysia yang ditebus semula.


Seperti yang saya sampaikan pada kalian malam ini, tuan-tuan dan puan-puan, beban dari mesej saya, saya merasakan bahawa bayangan keraguan telah melintasi fikiran kalian. Kalian pasti telah menggelengkan kepala dalam ketidakpercayaan akan impian ini kerana keluasan kadarnya kelihatan melawan realiti; apabila dengan besarnya pertimbangan kelihatan sangat mustahil dan tidak masuk akal; dengan advokasinya yang aneh untuk menyatukan orang-orang yang duduk berjauhan yang hilang dalam luasnya lautan terbentang, mungkin untuk seketika menganggap ianya sebuah projek yang sangat mustahil. Tetapi jawapan kalian kepada cabaran ini akan menjadi penghakiman kalian dalam keupayaan bangsa kalian buat peradaban, dan visi kalian untuk sebuah Malaysia yang ditebus akan menjadi penyelamat buat anak cucu kalian.


Terjemahan oleh Amir Abd Hadi. Terjemahan ini dibuat secara semberono, yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Tagalog, sebelum diterjemah kedalam bahasa Inggeris. Sekiranya terdapat sebarang komen, atau pembetulan, sila hantarkan kepada ligapemudamalaysia@gmail.com.


Tulisan ini adalah siri dari segmen mengenang tokoh-tokoh pejuang nasionalis progresif, di Malaysia serta Asia Tenggara, yang disiarkan di laman demimalaysia.net secara berkala.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.