• Admin

Mengangkat Agenda Nasionalisme Progresif

Oleh: Dr Noelle Rodriguez


Henrique, seorang Melayu dari Nusantara, adalah diantara yang pertama menjelajah ke seluruh dunia hampir 5 abad lalu. Penterjemah kepada Ferdinand Magellan, seorang hamba yang dibeli di Melaka selepas penjajahan Portugis pada 1511, beliau bebas semula dari penghambaan selepas Magellan dibunuh oleh Lapu-Lapu di Filipina.


Buku tulisan Syed Husin Ali, ‘A People’s History of Malaysia’ adalah naratif sejarah alternatif nasional terpenting di Malaysia yang pernah saya temui. Ianya memiliki semangat yang sama dengan buku tulisan mendiang Renato Constantino, ‘Nationalist Alternative’, yang diterjemah sebagai ‘Pilihan Nasionalis’ di sini (Malaysia).


Mengapa naratif nasionalis masih penting selepas lebih 6 dekad kemerdekaan pada 1957?


Malaysia adalah sebuah produk imperialisme dan anti-kolonialisme. Malaysia hari ini bukanlah sebuah entiti semulajadi, budaya atau geografi. Sebaliknya, seperti hampir semua bekas negara kolonial, ianya wujud disebabkan globalisasi, terutamanya penjajahan oleh empayar British, penaklukan Portugis di Melaka, dan kemudiannya penaklukan Belanda pada 1641.


Penjajahan British adalah episodik (berbahagian-bahagian) dan tidak sekata, yang diingati dalam sejarah sebagai Negeri-negeri Selat dari hampir dua abad lalu, Negeri-negeri Bersekutu dari lewat abad ke-19, dan Negeri Tidak Bersekutu, Johor serta bekas negeri-negeri utara yang diperintah Siam.


Walaupun Labuan awalnya adalah dibawah jajahan British – dimana percubaan pertama untuk melaksanakan pendaftaran tanah secara sistem Torrens (sistem pendaftaran tanah yang diperkenalkan British pada 1882) pertama kali dicuba – Sabah hanya berada dibawah sewaan Syarikat Borneo Utara British pada pertengahan abad ke-19 dengan persetujuaan Sultan Sulu.


Selepas beberapa ketika, James Brooke dan keturunannya menguasai Sarawak selepas mengalahkan ‘penentangan orang asal’. Sarawak merupakan ganjaran kepada mereka yang diberi oleh Sultan Brunei, yang kemudiannya memberikan nama kepada kepulauan Borneo.



Melalui kisah ini, dari jauh di Turin, ibukota pertama buat Itali yang telah bersatu (unified Italy), Emilio Salgari mengilhamkan kanak-kanak dengan kisah-kisah penentangan yang diketuai oleh Sandokan, sebuah mitos Harimau Malaysia, yang pertama kali direkodkan dalam penggunaan nama negara ini (Malaysia) pada abad ke-19.


Hari ini (ketika artikel asal ditulis), kita menyambut hari Malaysia, yang pada asalnya adalah satu susunan kolonial bagi memudahkan pengurusan harta benda British di Asia Tenggara, sebelum penarikan oleh Brunei (dari Malaysia) pada 1963 dan Singapura pada 1965, dua wilayah terkaya dalam Persekutuan.


Penulisan Syed Husin mengingatkan kita pada penentangan keatas Barat, terutamanya (keatas) pengembangan British, walaupun hanya sedikit diperkatakan tentang penentangan keatas pengembangan, penyambungan kuasa Siam dan kuasa ‘lokal’ yang lain.


Dan bagaimana dengan penentangan popular terhadap penindasan dan eksploitasi oleh mereka yang lebih dekat dan tidak begitu berbeza dari sudut budaya yang membawa kepada berkembangnya perbezaan status dan kelas? Makanya, ini bukanlah sejarah sosial sebelum Merdeka yang ditulis dari bawah.


Syed Husin juga mengingatkan kita bahawa pada tahun 1947, sedekad sebelum Merdeka, lebih ramai nasionalis radikal – diketuai Burhanuddin al-Helmy, Shamsiah Fakeh, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan mereka yang didalam Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) – telah bersetuju dengan Perlembagaan Rakyat.


Perlembagaan Rakyat untuk kemerdekaan Malaya ini telah dipersetujui dikalangan pemimpin-pemimpin dari semua etnik masyarakat di semenanjung, lama sebelum UMNO, dibawah Tunku, menyertai tuntutan untuk merdeka pada 1951, dengan kemudiannya disertai oleh MCA yang ditaja British.


Selepas menindas gerakan anti-penjajah, seperti Angkatan Pemuda Insaf, dari awal tahun 1948, malah sebelum darurat diisytihar, dan sebelum mereka berputus asa dengan Onn Jaafar, pihak British beralih arah kepada Perikatan Tunku untuk menjaga imperial, terutamanya kepentingan perniagaan dalam pemerintahan pasca-penjajahan.


Abdul Razak Hussein diingati untuk (penubuhan) Felda dan usaha tindakan afirmatif Dasar Ekonomi Baru bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi diantara etnik. Tetapi beliau juga melihat pemilikan ekonomi yang lebih besar oleh negara adalah perlu bagi menjaga keamanan rakyat.


Mungkin inilah sebabnya Razak ketika mudanya diletakkan dibawah pengawasan Cawangan Khas pada penghujung tahun 1940-an, bersama dengan Agong yang terakhir, Allahyarham Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, menurut bekas ketua polis negara, Hanif Omar.


Agenda Nasionalis Kekal Relevan


Agenda nasionalis kekal sangat relevan bagi Malaysia hari ini untuk sebab yang lain kerana pembangunan negara bagi projek neo-kolonial ini tidak mudah.


Untuk membuat keadaan menjadi lebih buruk, bila mana gerakan anti-penjajahan mula mencabar pentadbiran British pada 1930-an, strategi ‘pecah dan perintah’ oleh imperial telah dengan sengaja memperdalam pemisahan etnik, budaya, pekerjaan, kediaman, bahasa dan lain-lain dengan pengenalan dasar, sebagai contoh, mengubah kategori etnik dalam banci penduduk pada 1931.


Ianya sangatlah sesuai bila mana Anwar Ibrahim melancarkan buku ini, walaupun saya tidak lebih hanya sebagai ‘aksi pemanas badan’.


Anwar (bulatan) mengetuai pelajar dalam demonstrasi Baling

Bukan sahaja beliau adalah pelajar Syed Husin pada lewat 1960-an, mereka terlibat dalam banyak perjuangan bersama pada masa itu, menghabiskan dua tahun bersama dalam tahanan ISA berikutan demonstrasi Baling pada tahun 1974.


Pada tahun 1996, pada ulang tahun ke-100 pembunuhan Jose Rizal, universiti lama saya, Ateneo de Manila, telah menganugerahkan doktor kehormat kepada Anwar, mengiktiraf jalur progresif anti-kolonial, dalam advokasi nilai-nilai Asia-nya.


Seperti juga di dalam Perlembagaan Rakyat 1947, Rizal yang berdarah kacukan cina menyambut ke-Melayu-an semua orang Filipina menentang penjajahan Sepanyol.


Kemudian, nasionalis Indonesia telah menggunakan bahasa Melayu, bahasa yang diguna kurang dari dua peratus dari penduduk Hindia Timur Belanda, berbanding bahasa Jawa, bahasa majoriti. Lagi pula, Bahasa Melayu adalah bahasa Nusantara, terima kasih kepada pemilik akhbar berbahasa cina, seperti yang dicatat oleh Ahmat Adam, seorang yang sezaman dengan Anwar.


Makna yang berbeza dari istilah ‘Melayu’ adalah masih relevan apabila kita cuba untuk memahami penggunaan-penggunaan kontinjen dalam bahasa. Buku Syed Husin adalah peringatan tepat pada masa, bahawa nasionalisme progresif masih kekal relevan, bukan hanya untuk mengatasi warisan imperialisme, tetapi juga untuk menyatukan negara ini meski pada awal dorongan rasmi persaingan etno-populisme bagi memecah belah rakyat.


Oleh itu, hanya agenda nasionalis progresif dapat mendepani cabaran pembangunan negara pada masa kini, terutamanya dalam menghadapi penyebaran etno-populisme, yang menyamar sebagai nasionalisme, bukan hanya di Malaysia, Sri Lanka, atau Myanmar, tetapi juga di Barat pada zaman Donald Trump dan Brexit.


"Semua pejuang keadilan berterima kasih kepada sumbangan besar Pak Syed Husin. Untuk makluman, Malaya ertinya Merdeka dalam Bahasa Filipina. Selamat Hari Malaysia. Hidup pejuang keadilan. 'Salamat', ertinya terima kasih."



NOELLE RODRIGUEZ adalah pengerusi Jabatan Sejarah di Universiti Ateneo de Manila, Filipina. Beliau telah menulis dan menerbitkan tulisan dalam pelbagai topik dalam Sejarah Filipina, terutama dalam pertembungan budaya, peperangan di Filipina dan nasionalisme.


Tulisan ini kali pertama disiarkan di dalam portal Malaysiakini.com dengan tajuk 'A timely Reminder that Progressive Nationalism is still Relevant', sebelum diterjemahkan.


Terjemahan oleh Amir Abd Hadi. Terjemahan ini dibuat secara terburu-buru, dengan beberapa struktur ayat ditukar bagi memudahkan pembacaan. Sekiranya terdapat sebarang komen, atau pembetulan, sila hantarkan kepada ligapemudamalaysia@gmail.com.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.