© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

Minggu Orientasi Mahasiswa: Henti Aktiviti Tak Berfaedah

Oleh: Luthfi Yusri


Episod seumpama menari-nari sehingga lewat malam, terkinja-kinja tanpa sebab, cheers berlebih-lebihan sepanjang program, pergaulan bebas lelaki perempuan dan budaya paksaan secara membabi buta menurut arahan senior membuatkan mahasiswa sebahagiannya celaru akan tugas dan peranannya di Universiti.


Mereka yang ghairah untuk mencari dan menerokai benda baharu, akibatnya terkongkong di dalam penjara hendonisme yang dahsyat. Budaya menyambut freshie dengan agenda sebegini memberi kesan terhadap perkembangan mereka di alam kampus.


Kita seharusnya memahami bahawa mahasiswa merupakan satu kelompok manusia yang bakal meneruskan legasi kepimpinan negara untuk melakukan pengislahan secara menyeluruh dalam pelbagai aspek, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Ia adalah instrumen yang mustahak dalam menjadi check and balance kepada pihak pemerintah. Bermula dengan kefahaman ilmu yang dipelajarinya dan kesedaran akan tanggungjawab dalam memaknai hak seorang mahasiswa.


Kerana itu pelaksanaan minggu orientasi adalah suatu yang penting dalam mencorak mahasiswa berfikir secara analitikal dan kritikal, membentuk perspektif hujah, menyelami perbezaan orang lain dan membina suasana intelektual yang harmoni di kampus. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.


Minggu orientasi bukanlah medan untuk meraih sokongan politik pihak pemerintah mahupun pembangkang. Ia haruslah bersifat bebas dalam membuat pilihan dan memberi pandangan secara hormat. Minggu orientasi adalah mekanisme terbaik untuk dimanfaatkan dalam membentuk budaya yang baik serta menjadi anjakan paradigma buat para mahasiswa dalam membina diri sebagai modal insan yang berguna buat masyarakat.


MENAMBAH BAIK


Justeru itu, saya sendiri terpanggil untuk memberi beberapa idea-idea dalam menambah baik struktur Minggu Orientasi di IPTA dan IPTS agar dapat melahirkan mahasiswa yang mengenal dan memahami tanggungjawab mereka. Bukanlah semata-mata duduk di Bilik Kuliah kerana ingin mengejar Gred A sahaja. Kita mahukan pembinaan mahasiswa yang bersifat syumul dalam segala aspek. Perkara ini haruslah dipikul bersama oleh Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti, Individu mahasiswa itu sendiri dan pihak-pihak yang berwajib dalam usaha mengangkat kembali martabat mahasiswa.


1. Mewujudkan budaya berfikir


Mekanismenya boleh terjadi dalam pelbagai cara. Penganjuran forum intelektual, diskusi santai, dialog seputar mengenali potensi diri dan debat mengenai isu mahasiswa, masyarakat dan negara. Method ini seharusnya memberi satu cerminan budaya yang baru dalam mendidik mahasiswa untuk berfikir. Hal ini dapat mewujudkan suatu suasana yang ideal dalam memberi idea dan hujah serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk lebih cakna berkaitan perihal isu semasa.


Forum intelektual juga mampu untuk merangsang idealisme mereka dalam memahami Sejarah Mahasiswa era 70an, 80an dan 90an. Disamping mendalami Sejarah Universiti adalah sesuatu yang menarik untuk diperbincangkan. Diskusi perihal isu semasa berkaitan Mahasiswa misalnya fenomena depresi, pengurusan kewangan, pengurusan masa dan juga ketagihan gajet.


Isu seumpama ini haruslah diberi perhatian sebaiknya dalam memberi guideline kepada mahasiswa untuk menempuh cabaran tersebut. Metod ini boleh dilakukan dalam skala kecil atau skala besar. Fikirkan cara terbaik untuk membumikan kefahaman mereka dalam membentuk jatidiri seorang mahasiswa.


Budaya ilmu dan berfikir adalah tujuan utama mereka menjejakkan kaki ke Universiti. Demi meraikan tujuan ini, kita haruslah menyediakan aktiviti atau program yang mengasah pemikiran mereka, menguji idealisme mereka dan membentuk perspektif mereka agar tidak hanya berfikir akan diri sendiri sahaja.


2. Pengenalan PRK Kampus


Sebenarnya, pilihanraya kampus bermula sebagai satu pendidikan politik. Tujuan itu kekal sehingga ke hari ini. Matlamatnya untuk memberikan pengalaman dan pengetahuan berkaitan politik, demokrasi dan proses penglibatan individu melalui amalan pengundian. Melalui acara ini mahasiswa akan mengenali apa itu calon, pencadang, penyokong, kertas undi, kempen, wang deposit pencalonan, bantahan, pengiraan undi dan sebagainya.


Sekilas kita melihat memori lalu, Minggu orientasi digunapakai sebagai satu propaganda untuk meraih sokongan kepada sebelah pihak sahaja. Fasilitator itulah yang akan bertanding di fakulti masing masing. Mereka menggunakan medium minggu orientasi untuk meraih sokongan dan networking demi kelangsungan front politik mereka. Budaya ini sangatlah tidak memberi manfaat. Seharusnya ada satu slot memperkenalkan front politik mahasiswa dan persatuan pelajar di sesebuah Universiti.


Misalnya di Universiti Malaya, terdapat Penggerak Mahasiswa, Angkatan Mahasiswa, Demokrat UM, UMANY dan Neo Siswa Universiti Malaya. Sekiranya di UKM, terdapat Aspirasi UKM dan Inspirasi UKM.


Begitulah dinamiknya gerakan ini yang dahulunya tidak diambil peduli langsung oleh sebahagian mahasiswa dek kerana naratif buruk yang dicanang-canangkan. Politik kotor dan politik murahan. Ahdafnya adalah menggalakkan para mahasiswa cakna berkenaan isu kampus, hak bersuara dan membina sosok kepimpinan dalam memimpin suatu organisasi.


3. Membentuk hiburan yang lebih mendidik


Soal hiburan ini bukanlah tidak dibenarkan langsung. Ia merupakan intipati selingan yang menjadikan Minggu Orientasi itu lebih meriah dan gamat suasananya. Tujuan sebenar hiburan Cheers ialah bertujuan untuk menaikkan semangat sesebuah pasukan sahaja, bukan dijadikan motif utama dalam minggu orientasi pelajar baharu di seluruh peringkat mahasiswa di Malaysia.


Apatah lagi menari-nari sehingga lewat malam, meraung kehulu-kehilir dan terkinja-kinja tanpa arah tujuan. Di samping, menafikan hak manusiawi mereka untuk mendapatkan rehat yang secukupnya untuk persediaan program pada esok hari. Hanya tidur sekitar 2 hingga 3 jam sehari dek kerana bertungkus-lumus dalam memperbaiki cheers sahaja.


Jika diteliti kita dapati seluruh kampus universiti khususnya kampus awam, budaya ilmu di universiti hanya tinggal 30% berbanding budaya hiburan yang sudah mencapai sehingga 70%, berhibur tidak salah namun ada batasnya. Apa yang hendak dihasilkan daripada universiti ialah golongan profesional yang berkarisma dan mempunyai jatidiri yang terbaik. Dapat menilai dan memberi pandangan daripada perspektif mahasiswa dan pandangan atau idea ini dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara.


Terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang berbentuk menyegarkan intelektual dan membentuk jati diri seperti Outbond, Tressure Hunt di Universiti, Team Building mengikut fakulti masing-masing, ‘bedah buku’ perihal apa jua tajuk yang dirasakan sesuai, pertandingan mengikut kepakaran mahasiswa seperti debat dan sukan. Mekanismenya perlu dibincangkan secara lumat oleh pihak penganjur dalam mendepani pola mahasiswa yang kian berubah dek kerana pelbagai faktor.


Tuntasnya, Kita memerlukan sentuhan yang baru di Era Malaysia Baru ini. Sentuhan yang bersifat menyeluruh dalam mencorak demografi kampus yang lebih memaknai budaya ilmu dan berfikir serta cakna akan isu-isu di peringkat nasional.


Saranan Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan haruslah disambut dengan baik oleh mahasiswa iaitu mahasiswa bebas berwacana, berdialog dan universiti harus bebas dari cengkaman parti politik. Cuma kita sahaja belum bersedia kearah itu. Instrumen ini ialah proses yang harus dimulakan segera.


“Tidak ada tradisi yang tidak boleh dipecahkan, tradisi-tradisi yang ‘melemaukan’ mahasiswa ini harus dihentikan dengan segera. Sudah masanya juga minggu orentasi mahasiswa ini diserahkan semula kepada mahasiswa untuk mengatur dan menjayakanya. Sejarah menjadi saksi bahawa mahasiswa mampu untuk mengendalikan program orientasi ini tanpa perlu dikawal oleh sesiapa” - Rahman Imuda


LUTHFI YUSRI ialah aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam.


Tajuk asal artikel ini ialah, 'Minggu Orientasi: Era Malaysia Baru'


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.