• Admin

PELANCARAN KONGRES ANAK MUDA MALAYSIA 2017 (KAMM2017)

Updated: Aug 23, 2018

DEMI MALAYSIA


Ruang kuasa ketiga yang ditinggalkan vakum dalam politik Malaysia menyebabkan Malaysia sedang dipandu menjauhi kehendak sebenar rakyat. Setelah 59 tahun merdeka, hakikatnya situasi ekonomi dan sosio-politik negara Malaysia berada dalam kepincangan.


Nilai matawang negara berada kini pada paras 4.48 berbanding 1 Dolar Amerika. Pengusaha perniagaan kian mengeluh malah ramai yang terpaksa gulung tikar. Kuasa beli rakyat kian mengecil akibat kenaikan harga barang secara berterusan.


Menurut Global Democracy Ranking 2015, Malaysia berada di kedudukan 74 daripada 113 negara. Amat memalukan lagi, apabila Timor-Leste sebuah negara kecil yang baru mendalami demokrasi berada pada kedudukan ke 68, lebih baik daripada Malaysia.


Ketidaktentuan politik akibat perbalahan pemain-pemain politik yang tidak berkesudahan menyebabkan hampir 4.7 juta anak muda masih belum mendaftar sebagai pengundi. Menyedari isu-isu kritikal seperti kenaikan kos hidup, hutang pendidikan, kehilangan ruang bersuara anak muda, justeru kami daripada Demi Malaysia akan menghimpunkan anak muda dari seluruh negara dalam Kongres Anak Muda Malaysia 2017 (KAMM2017).


Kongres Anak Muda Malaysia yang akan diadakan pada 17-19 Februari 2017 ini akan menjadi titik mula untuk anak muda memposisikan semula kekuatan, seterusnya merencana masa depan Malaysia. KAMM 2017 akan menghasilkan deklarasi bersama yang akan menjadi asas perjuangan anak muda di Malaysia.


Kongres ini mensasarkan kehadiran 1000 anak muda yang datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk wakil-wakil daripada Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu kami menjemput anak muda di luar sana untuk bersama-sama dalam Kongres ini dengan mendaftar kehadiran di www.demimalaysia.net


Dikeluarkan bagi pihak Jurucakap Kongres Anak Muda Malaysia 2017 :

Anis Syafiqah, Adam Adli, Amir Abd Hadi, Chan Tsu Chong, Rashida Kamal (Wakil Sabah), Simon Seah (Wakil Sarawak), Mia Yusri (Wakil Komuniti Orang Asal).

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.