• Admin

Pendidikan Percuma

1. Situasi politik negara pasca Malaysia Baru ini memberikan gambaran positif, terutamanya dalam isu menuntut pendidikan percuma.

2. Rata-rata hari ini, rakan-rakan yang dahulunya tidak mengendahkan isu ini, malah merendah-rendahkan perjuangan mahasiswa dalam menuntut pendidikan percuma, hari ini sama-sama bersuara.

3. Liga Pemuda, mewakili rakan-rakan yang telah berjuang sekian lama, yang telah ditangkap, dilokap, dikasari, malah dibuang universiti untuk menuntut pendidikan percuma ini seharusnya mengucapkan terima kasih diatas keperihatinan yang diberikan.

4. Suka untuk kami ingatkan bahawa, perjuangan ini tidak akan berhenti, sungguhpun berlaku pertukaran tampuk pimpinan kerajaan.

5. Liga Pemuda, melalui Kongres Anak Muda Malaysia yang dianjurkan pada 12 & 13 Mei 2017, telah meletakkan agenda pendidikan percuma ini sebagai agenda pertama, didalam Deklarasi 13 Mei yang dicapai.

6. Malah 3 perkara pertama dalam Deklarasi 13 Mei, adalah berkaitan isu pendidikan dan kemaslahatan mahasiswa.

7. Didalam 'Risalah Dasar Liga Pemuda' juga, pendidikan percuma adalah diantara perkara utama dalam perjuangan Liga.

8. Namun pasca perubahan, strategi yang digunakan juga berbeza. Diplomasi digunakan, selagi mana pintu rundingan masih dibuka.

9. Pintu rundingan ini telah tertutup rapat dibawah pentadbiran lama, yang memaksa mahasiswa dan pemuda mengambil jalan konfrontasi.

10. Sekiranya pintu rundingan ini ditutup nanti, dan sekiranya tidak ada ruang lagi untuk berunding dan berbincang, Liga Pemuda tidak akan segan untuk berkonfrontasi.

11. Bagi rakan-rakan yang dahulu boleh berunding, atau 'menasihati' kerajaan Barisan Nasional, mungkin telah kehilangan itu semua selepas pertukaran kerajaan. Kami mengalu-alukan kalian untuk bersuara, dan berkonfrontasi untuk memperjuangkan isu ini.

12. Perjuangan ini bukan milik individu atau mana-mana kumpulan. Jika merasa perlu, keluarlah kejalan. Tidak ada yang perlu ditakutkan.

13. Apa pun, Liga Pemuda bersyukur, kerajaan kleptokrat, yang memberi mudarat lebih besar, telah jatuh tersungkur.

Dari jalan pulang ke jalan,

Amir Abd Hadi Setiausaha Agung Liga Pemuda

25 Julai 2018

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.