© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

PENGISYTIHARAAN EKO-KECEMASAN NASIONAL (ECO-EMERGENCY) MENGENAI KEMUSNAHAN & DEGRADASI ALAM SEKITAR

Oleh: Hafizuddin Nasarudin



Perlunya deklarasi dan komitmen serius daripada pihak berkepentingan terutamanya pihak kerajaan dan agensi berkuasa yang lain dalam mengisytiharkan eko-kecemasan sebagai titik permulaan kepada proses muhasabah dan pengkajian semula dasar negara terhadap perlaksanaan pembangunan yang bakal memberikan impak kepada kawasan alam sekitar sensitif & berkepentingan sosial.

Jauh lebih penting, pengisytiharaan ini memberi ruang kepada tindakan penyelesaian tegas terhadap isu-isu alam sekitar berbangkit yang saban hari kerap menimbulkan konflik, kemudaratan ekonomi, politik & sosial serta bencana alam.

Perisytiharan Eko-Kecemasan memerlukan persetujuan dan kesedaran tentang kepentingan dan keperluannya daripada ahli-ahli politik, pihak kerajaan dan orang awam.

Rangka kerja khas undang-undang dan institusi di bawah Eko-Kecemasan nasional akan membolehkan kita untuk bertindak segera dengan cara yang berkesan untuk menggalakkan tren dan membina warisan semula jadi kita ke arah kestabilan ekologi di peringkat tempatan, nasional dan global, sambil menyumbang terhadap gerakan ekologi.

-----------------

Dekad yang terakhir ini menyaksikan isu kemusnahan alam sekitar terutamanya hutan biodiversiti negara semakin berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Malaysia kehilangan hutan & biodiversiti yang terlalu banyak dalam tempoh dekad yang singkat.

Saban hari kita melihat semakin banyak projek-projek pembangunan samada yang diberi lesen mahupun yang dilakukan secara haram telah memusnahkan hutan biodiversiti kita dalam skala yang besar.

Ini memberikan kesan buruk yang berantai seperti timbulnya pelbagai konflik terutamanya yang membabitkan komuniti orang asli/orang asal, nelayan, petani dan komuniti akar umbi yang lain yang mempunyai akses secara langsung kepada sumber asli.

Kejadian bencana besar, perubahan cuaca, pencemaran alam sekitar dan krisis yang lain telah merudumkan kesejahteraan hidup rakyat, merudumkkan ekonomi negara untuk proses pemulihan serta menyebabkan negara kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai.

-----------------

Pengisytiharan Eko-Kecemasan Nasional oleh Kerajaan Pusat & Negeri memerlukan tindakan berikut dengan segera:

i. Mengisytiharkan tempoh kecemasan dalam masa yang ditentukan bagi mengkaji, memikirkan dan memperbaharui semula dasar negara dalam pengurusan alam sekitar & isu alam sekitar berbangkit.

ii. Pengikraran dan komitmen oleh wakil rakyat, ahli-ahli politik dan pemimpin pertubuhan masyarakat sivil dalam memberikan jaminan terhadap perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial yang tinggi.

iii. Menghentikan projek ladang hutan, perlombongan, empangan dan projek komersialisasi skala besar di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah memusnahkan sebahagian besar hutan negara.

iv. Jaminan pemberian hak kepada komuniti akar umbi untuk membuat keputusan & mendapat akses secara langsung terhadap sumber asli di sekeliling mereka & menjamin keperluan sosioekonomi mereka daripada pembangunan lestari.

v. Pematuhan tegas oleh pihak pembuat keputusan & agensi pelaksana terhadap zon-zon sensitif alam sekitar & dasar-dasar yang telah sedia termaktub.

vi. Reformasi undang-undang dan struktur institusi kebangsaan yang inovatif, terbuka dan telus.

vii. Memperuntukkan dasar negara untuk tujuan pendidikan alam sekitar secara holistik & mandatori dari peringkat sekolah, universiti & masyarakat awam.

vii. Reformasi sistem ekonomi negara kepada sistem ekonomi hijau dan memastikan agenda pembangunan lestari dapat dijalankan dengan tegas.

LIGA PEMUDA X Persatuan Aktivis Sahabat Alam - KUASA