• Admin

Perlantikan Dr Maszlee Malik: Antara Keseimbangan Sistem dan Kualiti Individu

Oleh: Mohd Afif Bin Mohd Marzlan


Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu perlantikan YB Dr. Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Fenomena ini dilihat mengejutkan kerana ia bertentangan dengan gagasan yang dibawa Pakatan Harapan (PH), iaitu reformasi institusi yang termaktub di dalamnya, termasuklah membebaskan institusi-institusi strategik daripada pengaruh politik, dan diurus tadbir secara terus oleh golongan teknokrat yang professional dan bebas pengaruh politik.


Perlantikan sebegini bukanlah kali pertama berlaku pada era pemerintahan PH. Sebelum ini pun sudah riuh perlantikan beberapa individu politik dalam institusi strategik di sektor ekonomi. Namun disebabkan pendidikan begitu rapat dengan hati dan nadi rakyat, isu ini menjadi gempar. Ditambah pula dengan rekod Dr. Maszlee yang sememangnya terkenal sebelum bergelar menteri lagi, isu ini kini mengesan ke semua lapisan masyarakat.


Dari bacaan hujahan kedua-dua belah pihak, baik yang menyokong mahupun menentang, bolehlah kita ringkaskan menjadi topikal seperti di bawah:


1. Perlantikan dan bukan kehendak diri.


Dr. Maszlee sendiri menyebut bahawa beliau tidak dapat menolak perlantikan yang datang daripada Sultan. Pihak yang menentang mengatakan bahawa beliau mempunyai pilihan. Namun hakikatnya memang sukar untuk menolak, dalam situasi realiti.


2. Sokongan dan sambut baik pihak pengurusan universiti.


Dalam hal ini, sebetulnya mana-mana pentadbiran pun akan cuba mengambil hati pemerintah. Ini normal bagi mana-mana pentadbiran agar mendapat kerjasama dan bantuan orang berkepentingan. Sebahagian orang melihat ini sebagai sikap mengampu.


3. UIAM merupakan sebuah universiti yang istimewa dan tersendiri.


Memang benar UIAM sangat berbeza dibanding dengan universiti awam lain. Ini boleh dilihat bukan sahaja pada sistem, bahkan maklumat kewangan, perlembagaan, serta peranan yang dibawa oleh UIAM. Namun adakah ini hujahan yang cukup konkrit untuk menyokong perlantikan tersebut, atau ia sebenarnya lebih memberi merit kepada pihak yang menentang?


Banyak lagilah senarai panjang yang boleh kita baca di internet bagaimana pihak-pihak saling berbalas hujah. Namun sebetulnya yang menjadi perbahasan induk dalam isu ini adalah dua perkara sahaja : keseimbangan sistem lawan kualiti diri.


Mengapa saya katakan demikian? Kerana topik ini telah hangat dibahaskan dalam tulisan-tulisan teks silam, iaitu bagaimana berlakunya evolusi trusted person kepada trusted system.


Dalam tulisan-tulisan akademik mereka menggunakan pelbagai istilah untuk menggambarkan topik ini. Dalam tulisan Arab ia disebut sebagai syakhsiah zatiyyah lawan syakhsiah i’tibariyyah.


Ini merupakan rentetan yang kita dapat lihat dalam pelbagai sejarah bangsa. Dalam Islam misalnya, era awal perkembangan Islam banyak menumpukan pada pemantapan kualiti individu. Pada ketika itu tiada sistem yang kompleks. Manusia cuma perlu mencari insan yang boleh dipercayai, kemudian semua urusan akan selesai dengan jayanya.


Namun apabila empayar Islam semakin besar dan isu yang timbul semakin kompleks, berlaku pemisahan kuasa. Ini dapat dilihat misalnya dalam bidang kehakiman. Pada era awal, khalifah sendiri yang menghakimi kes. Pada era-era kemudiannya, khalifah melantik hakim lain yang menjadi wakil beliau untuk memutuskan kes.


Mengapa ini berlaku? Kerana ianya adalah fitrah insani. Ini telah menjadi simbolik dalam filem bersiri Lord of The Ring, yang memaparkan kepada kita bahawa untuk membawa cincin yang digilai ramai, cincin itu perlu sentiasa berpindah tangan. Jika tidak, manusia takkan mampu menahan nafsunya sendiri.


Nah, sekarang kita berbalik semula kepada isu perlantikan presiden UIA. Setelah kita faham bahawa teras dan tunjang isu ini adalah di antara keseimbangan sistem lawan kualiti diri, barulah kita dapat menyikapi senario ini dengan baik seperti berikut:


1. Tidak timbul isu merit samada Dr. Maszlee layak atau tidak. Sememangnya pengalaman serta jaringan kenalan beliau sudah cukup matang dan luas. Yang menjadi isunya sekarang ini adalah beliau memegang jawatan menteri.


2. Antara keseimbangan sistem lwn kualiti diri, manakah yang lebih kuat untuk menjamin keharmonian sejagat?


Suka untuk saya memetik ucapan Perdana Menteri Tun Mahathir dalam sebuah seminar, bahawa kualiti insan adalah lebih mustahak. Sekiranya kita memiliki sistem sehebat manapun, jika insan yang mengendalikannya korup atau tidak kompeten, tiada gunanya juga. Ini jelas menunjukkan sikap dan pendekatan Mahathir. Dan inilah yang membezakan Mahathir dengan Anwar Ibrahim. Mereka memegang mazhab yang berbeza. Anwar Ibrahim lebih cenderung untuk melakukan reformasi dan menumpukan pada sistem pentadbiran yang telus dan terancang.


Sekiranya kita memilih untuk mendahulukan kualiti diri berbanding keseimbangan sistem, adakah kita bersedia jika ia digunakan oleh insan yang tidak kompeten suatu hari kelak? Misalnya jika pembangkang atau Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan semula, dan mereka melakukan perlantikan yang serupa dengan alasan bahawa individu tersebut adalah individu yang terpercaya, bersediakah kita memberi laluan dan menerimanya? PAS sendiri meletakkan kepercayaan penuh kepada Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) walaupun pihak lawan sering mendakwa TGHH mengkhianati perjanjian & perjuangan. Adakah kita bersedia membawa sikap ‘walak’ yang mereka laungkan yang selalu kita sindir dan kritik saban hari?


Saya sebagai pengkaji begitu teruja ingin melihat hasil hujung isu ini untuk dijadikan bahan pengukur. Dalam situasi genting yang berlaku antara pertemuan siswa siswi bersama Dr. Maszlee, saya secara peribadi mencadangkan agar :


1. Dr. Maszlee terus menjadi presiden. Buktikan system balance & quality person ada imbangan mengikut neraca relativism.


2. Jika Dr. Maszlee dapat berprestasi cemerlang, beliau patut letak jawatan ketika menghampiri pilihan raya umum. Ini bakal membeli jiwa pejuang jalanan kembali.


3. Jika Dr. Maszlee gagal, Pakatan Harapan perlu sentiasa bersiap sedia menaja mana-mana gerakan reformasi agar ia menjadi benteng terakhir sebagai bukti bahawa PH sentiasa terbuka mendokong keseimbangan sistem. Jika tidak, kelompok pejuang jalanan atau pejuang rakyat tidak teragak-agak untuk berkempen bagi pihak musuh PH sebagai pengajaran dalam pilihan raya seterusnya.


MOHD AFIF MOHD MARZLAN adalah seorang guru.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.