Perlembagaan Persekutuan: Rakyat Malaysia Berhak Berhimpun Secara Aman

KENYATAAN MEDIA LIGA RAKYAT DEMOKRATIK

Untuk Hebahan Segera


4 MAC 2020


Perlembagaan Persekutuan: Rakyat Malaysia Berhak Berhimpun Secara Aman


Hari ini seramai 18 individu yang terdiri daripada aktivis sosial dan politik dari kalangan gerakan masyarakat sivil telah dipanggil menemui pihak PDRM untuk disiasat di bawah beberapa akta berbeza termasuklah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Akta Komunikasi.


Liga Rakyat Demokratik menganggap tindakan memanggil individu-individu ini sebagai sebuah "crackdown" dengan tujuan mendiamkan suara dan kritikan daripada kalangan rakyat biasa dalam mendepani krisis politik mutakhir.


Adalah tidak wajar apabila dalam situasi krisis politik berpanjangan yang sedang berlangsung sekarang tetapi yang terus ditekan, diancam, dan didiamkan oleh pihak berkuasa adalah dari kalangan rakyat biasa yang terlibat dalam gerakan masyarakat.


Di saat aktivis masyarakat hanya menyatakan bantahan secara aman sesuai amalan demokrasi terhadap kemelut politik dan salah laku pemimpin politik, mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam krisis politik berbangkit jelas meningkatkan perpecahan masyarakat dan keresahan awam melalui kenyataan-kenyataan mereka di media sosial dan media arus perdana.


Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan banyak bermain dengan sentimen perkauman dan agama bagi tujuan meningkatkan kecelaruan. Tindakan mereka sepanjang masa ini bagaimanapun tidak pernah diambil sebarang tindakan sekeras yang dihadapi oleh aktivis masyarakat biasa.


Tindakan terpilih ini adalah tidak wajar, dan tindakan menutup suara rakyat juga bercanggah dengan perlembagaan negara. Kami ingin menggesa agar pihak berkuasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan lebih berhemah, adil, dan menghormati hak bersuara rakyat biasa yang juga merupakan pihak berkepentingan dalam situasi negara hari ini.


Kami juga tidak terlepas dari terus-menerus mengajak setiap pihak untuk membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 yang sepatutnya sudah dimansuhkan.


-Tamat-


Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pusat Liga Rakyat Demokratik

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.