© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

  • Admin

Seni Anjing atau Seni Menganjing!



Oleh: Mukmin Nantang


1. Dari kelmarin lagi orang 'mention' dan 'tag' aku berkenaan video promosi teater ini. Aku tidak terkejut atau pelik pun melihat video teater promosi ni kerana perkara ini sangat biasa dalam teater. Aku juga tidak terkejut atau marah melihat komen atau persepsi masyarakat Malaysia kerana selama ni sememangnya masyarakat tidak faham pun dengan teater apatah lagi bentuk persembahannya seperti ini.


2. Pencerahan tentang teater sangat kurang di Malaysia, orang tidak paham, tidak pernah menonton jadi tidak bolehlah kita salahkan mereka. Kita sebagai orang seni tidak suka menghukum, semua orang bebas bercakap mengenai apa yang dia lihat. Kita cuma boleh perhatikan sama ada yang dikatakan itu menggunakan laras ilmu atau tidak. Mengambil yang baik, menjadikan pengajaran yang buruk lalu terus berkarya atau memberi pencerahan.


3. Video teater di atas merupakan sebuah ekperimental teater. Sebuah persembahan memecah dogma dan bentuk realiti (realisme) kehidupan. Kehidupan sebenar di eksperimen atau di protes atau melawan dogma kebiasaan lalu dibangunkan menjadi sebuah pementasan teater. Eksperimen maksudnya sesuatu benda yang dikaji lalu diubah menjadi sesuatu yang baru atau berbeza dari asalnya (realiti kehidupan).


4. Teater eksperimental ini biasanya sebuah simbol (simbolik, simbolisme) iaitu membawa perlambangan atau maksud berbeza dari biasa. Semua perkara mempunyai maksud disebaliknya (teks dan sub teks). Dari pergerakan, watak, warna, pakaian, tatarias, set props, ruang pentas semua ada simbolik dan kritikan di dalamnya. Contoh lainnya adalah sebuah watak sengaja berperwatakan seperti anjing untuk mengkritik pemimpin yang jahat, menggunakan pakaian dari plastik sebagai simbol kemunafikan (kepura-puraaan, palsu) dan menggunakan muzik seram bagi menununjukkan kehidupan sebenar yang menakutkan atau berbahaya. Tapi semua ini harus dikaji agar sesuai dengan kosep atau aliran pementasan yang mahu dibangunkan.


5. Ya video promosi teater di atas sebuah eksperimental. Benda ni biasa saja tiada yang mengejutkan apa-apa. Masalahnya cuma pada video pendek yang tidak lengkap ini. Cuma sebuah promosi. Jalan cerita tidak lengkap, tiada kostum, tatarias, set props dan penghayatan yang mendalam. Mungkin orang bukan teater nampak kelakar. Bagi orang yang bergiat dan mendalami ilmu seni teater pastinya ia kelihatan biasa saja.


6. Video pendek ini tidak sesuai lagi untuk dinilai keindahannya (ekstetika) kerana ia sebuah video promosi yang serba tidak lengkap, bukannya sebuah pementasan teater yang penuh lengkap dengan perincian elemen di dalamnya. Eksperimental teater jika dilihat ada yang lebih gila dari ini. Maksudku aksi yang lebih tidak masuk akal.


7. Terakhir, teater sangat tidak sesuai di tonton menggunakan video visual. Teater bukan filem, drama tv, dokumentari dan sebagainya. Teater harus di tonton secara langsung (live) untuk menikmati terus keindahan (ekstetika) seninya.


8. Persoalan besarnya di sini, adakah seni itu anjing atau seni telah menganjingkan kita? Jom tonton teater.


Itu sahaja, terima kasih.


Mukmin Nantang

Pengerusi Liga Pemuda Malaysia - Borneo Pemegang Ijazah Seni Kreatif (Teater) Universiti Malaysia Sabah