• Admin

Untuk Apa Kita Mengundi?

PERGI MAMPUS PRU14 Oleh: Amir Abd Hadi


Ramai yang menyangka, duit yang diterima dari salah urus tadbir, digunakan untuk mengkayakan anak isteri dan keluarga; Najib Razak sebagai contoh. Ada tuduhan mengatakan duit dari 1MDB itu masuk ke akaun peribadi beliau supaya ia boleh digunakan oleh Rosmah, untuk membeli beg tangan ‘Birkin’.


Mungkin benar, namun memahami bagaimana urusan keluar masuk duit, kita memahami ia lebih besar sekadar itu.


Masakan seorang politikus, memiliki begitu banyak kereta? Untuk kegunaan beliau?

Tidak! Itu, yang kita panggil sebagai ‘penggubahan wang haram’, money laundering kalau dalam bahasa orang putih. Ia bagi mem’bersih’kan wang haram, menjadi halalan toyyiban.


Watak Frank Underwood, dalam drama televisyen terkenal, House of Cards, menyebut, “He chose money over power - in this town, a mistake nearly everyone makes. Money is the McMansion in Sarasota that starts falling apart after 10 years. Power is the old stone building that stands for centuries.”


“Dia memilih duit dari kuasa – di tempat ini, (ia) kesilapan yang dilakukan hampir semua orang. Duit adalah ‘McMansion’ (bangunan besar) di Sarasota (sebuah bandar di Amerika Syarikat) yang akan jatuh selepas 10 tahun. Kuasa adalah bangunan lama yang akan tertegak berabad-abad lamanya”.


Dalam politik, duit bukanlah penyebab pada korupsi, tetapi kuasa. Atau mungkin lebih tepat lagi, ‘ketakutan akan kehilangan kuasa’.


Seperti kata John Steinbeck, seorang pemenang Anugerah Nobel Kesusasteraan dari Amerika, “Power does not corrupt. Fear corrupts… Perhaps the fear of a loss of power.”

“Kuasa tidak akan (menjadikan seseorang) korup. Ketakutanlah yang menjadikannya.. mungkin ketakutan akan kehilangan kuasa”.


Dengan ketakutan itu, manusia akan berbuat apa sahaja untuk kekal berkuasa, apatah lagi apabila seseorang itu berada di penghujung kekuasaan. Dan duit, sudah tentu kekuatan bagi orang-orang yang berkuasa.


Duit yang banyak diperlukan, bukan untuk membelikan isteri jam tangan Richard Mille Lady RM 007, atau diberikan kepada anak untuk menerbitkan filem Hollywood Wolf of Wall Street. Bukan.. bukan. Itu cuma jalan-jalan menjadikan duit itu halalan toyyiban, seperti yang dijelaskan sebelumnya.


Duit perlu disuap kepada orang-orang yang duduk di kiri dan kanan, agar setia. Duit diperlukan untuk membayar sebilangan orang disetiap kawasan, DUN dan parlimen. Duit dicurah seperti ‘coklat yang mencurah-curah ke ladang gandum’.


Duit yang banyak memerlukan pelaburan yang besar dan sebagai seseorang yang berada di tampuk kuasa, sudah tentu duit itu datangnya dari dana negara atau negeri, yang sudah tentu datang dari poket rakyat.


KUASA DAN JATUH BANGUN KERAJAAN


Dengan sedikit hujah ini, kita sedikit sebanyak faham akan bahaya kuasa, dan manusia didalam sebuah kerajaan.


Manusia akan tetap menjadi manusia. Manusia tidak akan mungkin menjadi malaikat. Kata Thomas Paine (1776), “Government, even in its best state, is but a necessary evil; in its worst state, an intolerable one.”

“Kerajaan, walaupun dalam keadaan terbaik, hanyalah satu kejahatan yang diperlukan; dalam keadaan terburuk, tidak dapat dibiarkan”.


Perkara ini diterima oleh sarjana dan cendekiawan dari beberapa jalur spektrum ekonomi, yang percaya disebabkan perkara ini, kuasa sesebuah kerajaan perlu untuk dikurangkan.


Kita juga perlu sedar, bahawa konsep kuasa dan kerajaan ini, antara lain, yang memisahkan Mikhail Bakunin dan Karl Marx dalam Internasionale Pertama, yang akan diperjelaskan dalam penulisan seterusnya.


Ada yang menyangkakan bahawa, menukar kerajaan akan mengubah segalanya. Tukar kerajaan akan memulihkan institusi yang rosak, menghapuskan amalan rasuah, memperbaiki ekonomi, malah akan menyembuhkan penyakit sembelit!


Untuk ini, mungkin juga ada betulnya (selain dari menyembuhkan penyakit sembelit). Seperti misalnya di dalam karya agung Ibn Khaldun, Mukaddimah (1377), melalui Teori Siklus, Ibn Khaldun menjelaskan soal kitaran sebuah empayar.


Teori Siklus menjelaskan soal jatuh bangun sebuah empayar, yang mana di dalamnya menjelaskan tentang 5 tahap sebuah peradaban, yang mana tahap-tahap ini pula akan memunculkan 3 generasi.


Bagi mengelakkan tulisan ini jadi panjang berjela, pembaca dinasihatkan supaya membaca buku Mukaddimah atau membaca terus ulasan berkaitan buku tersebut, terutamanya Teori Siklus, atau juga dikenali sebagai Teori Kitaran.


Apa yang penting adalah, setiap kerajaan yang baru, atas sokongan rakyat, pada tahap awalnya akan berusaha sedaya mungkin, untuk sekurang-kurangnya, dilihat lebih baik dari kerajaan terdahulu.


Makanya akan ada kalau tidakpun banyak, sedikit sebanyak pembaharuan dan kebaikan yang akan dinikmati rakyat dari perubahan yang berlaku.


Namun yang menarik juga untuk dibangkitkan adalah kemunculan 3 generasi dari 5 tahap yang muncul dari pembangunan negara. Dari generasi pembangun, kepada generasi penikmat, seterusnya generasi yang terakhir sebelum kejatuhan, yakni generasi yang tidak lagi memiliki hubungan emosional dengan negara.


Generasi akhir ini, akan melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan sedikitpun nasib negara.


Tidak salah untuk dikatakan, kita sedang melahirkan generasi ketiga menurut teori siklus. Pemuda khususnya, bersikap tidak ambil peduli akan nasib bangsa. Hal ini antara lain, disebabkan keadaan ekonomi yang mundur yang membuatkan setiap dari kita, hanya memikirkan tentang survival sendiri.


Kita menjadi individualis, yang tanpa kita sedar tidak akan memberi kebaikan untuk jangka masa panjang. Ini adalah strategi pecah dan perintah pasca merdeka.

Untuk memecahkan kebuntuan ini, sudah tentu ‘kitaran’ ini perlu terus bergerak. Jika tidak, kita akan tersangkut di tahap ke-5, yakni tahap kejatuhan, dengan generasi ke-3 yakni generasi yang tidak lagi mempedulikan negara terus berkembang.


Melihat kepada alternatif yang ada kepada kerajaan sekarang, sudah tentu ramai yang garu kepala. Malah ada yang menganggap, usaha mereformasikan kerajaan, dari janji-janji pembangkang sebagai lucu. Apatah lagi kini mereka di ketuai oleh seorang yang dituduh diktator.


MENGUBAH MENTALITI


‘Ubah mentaliti’! Iya, adalah slogan-slogan yang selalu dilaungkan. Namun benar, inilah perkara yang lebih utama.


Mari kita kembali kembali ke tahun 30-an, sekitar hampir 30 tahun sebelum merdeka.

Ketika membicarakan berkenaan organisasi-organisasi Melayu sekitar 30-an, dalam bukunya ‘Ke Mana Nasionalisme Melayu?’, Rustam A. Sani menyatakan, “Gerakan-gerakan (gerakan yang wujud pada 1930-an) itu tidak anti-kolonial sifatnya, kerana menentang pemerintahan kolonial (penjajah Inggeris) tidaklah dipersepsikan sebagai berlainan daripada menentang pemerintahan Raja-raja Melayu sendiri”.


Gerakan-gerakan awal menuntut kemerdekaan ditentang, dituduh gila, malah dituduh ‘menderhaka kepada kerajaan’. Hal ini berlarutan walaupun sehingga PUTERA-AMCJA dibentuk, malah ketika UMNO diwujudkan pada tahun 1946, cakap-cakap ini masih berterusan.


“Ratusan tahun kita hidup dijajah, masakan kita mampu mentadbir sendiri”. “Mereka punya ketenteraan, malah memberikan kita kerja. Apa yang pribumi ada? Ingin mentadbir sendiri? Gila!”. Ketakutan wujud dan ia terjadi secara organik, diatas keterbiasaan hidup. Namun akhirnya kemerdekaan dicapai pada tahun 1957 dan cakap-cakap ini terhenti. Lalu negara terus dibangun, dengan tahap-tahapnya, persis teori siklus.


Hari ini juga tidak banyak bezanya. Kerana ia adalah sebuah kitaran, akhirnya kita berputar, dan kembali kepada keadaan seperti sebelumnya. Selepas 60 tahun merdeka, malah sejak pilihanraya pada tahun 1955, kita tidak pernah mengubah kerajaan.

Wujud keterbiasaan baru, dan ketakutan sekiranya perubahan berlaku. “Bagaimana dengan nasib orang Melayu? Siapa yang akan membelanya?”. Ini antara persoalan yang bermain, yang merencatkan kitaran. Tanyalah pada seberapa ramai orang, terutama yang diluar Bandar, inilah persoalan yang selalu dibangkitkan.


Persoalan ini persis persoalan sebelum merdeka. Persoalan ini juga hanya bisa dipecahkan dengan mengubah kerajaan, dan memastikan kitaran ini kembali bergerak. Ia penting, bagi mengubah mentaliti masyarakat untuk tidak lagi takut untuk berubah pada masa akan datang.


Lalu apabila tiba masanya, kerajaan baru ini harus digantikan pula dengan kerajaan yang lain.


Maka, aku, adalah antara jutaan manusia, yang akan keluar mengundi pada pilihanraya akan datang, dengan harapan, kerajaan sedia ada mampu dijatuhkan.


Dan aku jugalah, yang akan bersama dibarisan hadapan, untuk menjatuhkan kerajaan baru nanti, apabila mereka gagal.


Amir Abd Hadi 11/01/2018 5.05 PM

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.