• Admin

Warkah Dari Penjara - Derita SOSMA

Oleh: Muhammad Ash-Shafie, dari dalam penjara Sungai Buloh


Hanya kerana memiliki beberapa keping foto dan beberapa buah video tentang perkembangan umat Islam dan konflik peperangan di Syria (yang anda set auto-download dari group Whatsapp), anda boleh dipenjarakan minimum sehingga 7 tahun! Inilah akta “SOSMA” yang saya percaya, ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu. Ia adalah singkatan bagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. Ringkasnya dipanggil “SOSMA”.


Saya merupakan salah seorang tahanan SOSMA. Sebelum ditahan, saya tidak pernah tahu apa itu “SOSMA”. Saya tidak tahu, hanya kerana mendownload foto dan video boleh dikenakan hukuman penjara bertahun-tahun lamanya. Saya tidak pernah tahu, hanya kerana menyertai group Whatsapp / Telegram, seseorang boleh ditangkap dan dituduh menyokong keganasan, serta boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun! Saya juga tidak tahu, hanya dengan memberi infaq (derma) dengan niat ihsan kemanusiaan bagi membantu mangsa perang di Syria, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun sekiranya duit itu tersalah disalurkan melalui orang yang salah (yang hakikatnya orang awam seperti saya tidak tahu siapakah “orang yang dianggap salah” itu. Yang tahu hanyalah pihak polis sahaja).


Ketika ditahan oleh Polis Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman, saya tidak tahu apa kesalahan yang telah saya lakukan. Sehinggakan saya fikir, polis tersalah buat tangkapan. Kerana tidak pernah terlintas di benak fikiran saya untuk melanggar undang-undang negara, hingga saya ditahan oleh polis dan dipenjarakan.


Kini, saya sedang ditahan reman di Penjara Sungai Buloh (PSB) sementara kes saya bakal dibicarakan beberapa bulan lagi di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Ketika saya menulis artikel ini, bersama saya ada 10 orang lagi tahanan SOSMA yang juga sedang ditahan reman. Ada yang sudah 2 tahun dibicarakan, bahkan 3 orang daripada kami telahpun ditahan REMAN sudah hampir 4 tahun di penjara ini. Walaupun mereka bertiga (case-mate) sudahpun menang perbicaraan di Mahkamah Tinggi kira-kira 1 tahun setengah yang lalu, tetapi kerana mereka adalah tahanan SOSMA, mereka masih tidak dibebaskan!


Menang di Mahkamah, Tapi Tidak Dibebaskan


Ya, mereka sebenarnya sudah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, tetapi pihak pendakwaraya membawa kes mereka ke mahkamah yang lebih tinggi i.e. Mahkamah Rayuan. Maka Akta SOSMA membenarkan mereka semua terus ditahan reman, dan tidak dibebaskan. Akta ini tidak membenarkan tertuduh diikat jamin (kecuali bagi yang berumur bawah 18 tahun, seorang perempuan, seorang yang uzur atau seorang yang sakit) walaupun telah menang di peringkat Mahkamah Tinggi. Mereka bertiga sedang menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Rayuan, yang sepertinya dilengah-lengahkan sudah setahun setengah lamanya. Ini memberikan tekanan emosi serta kewangan ke atas mereka dan keluarga.


Mereka ada isteri dan anak-anak kecil yang sudah hampir 4 tahun sengsara menunggu mereka di luar. Isteri-isteri mereka telah kehilangan nafkah dan perlindungan daripada suami sudah hampir 4 tahun. Anak-anak kecil mereka telah kehilangan kasih sayang seorang ayah hampir 4 tahun lamanya. Sedangkan mereka bukan “penjenayah” dan mahkamah juga telah mengesahkan mereka semua bukan “pengganas” sebagaimana yang digambarkan oleh pihak polis dan media ketika mereka ditahan pada tahun 2015 yang lalu.


Saya bukanlah pakar tentang undang-undang, tetapi saya merenung, apakah saya juga terpaksa melalui birokrasi perundangan seperti 3 rakan tahanan tersebut? Sedangkan kami hanyalah orang biasa yang tidak memiliki sebarang senjata api yang boleh “mengancam keselamatan negara” sebagaimana yang didakwa. Saya fikir, orang yang dituduh dengan kesalahan membunuh pun mempunyai peluang untuk “menang dan bebas” melalui proses perundangan, tetapi undang-undang SOSMA yang diwartakan sejak 22 Jun 2012 ini, belum ada mana-mana tertuduh yang “menang dan bebas”. Yang ada hanyalah mereka yang menang (di mahkamah), tetapi tidak dibebaskan!


Saya diberitahu oleh tahanan yang lebih senior dari saya, yang telah memerhati kes-kes SOSMA sejak 2015. Menurutnya, kalau mahkamah membuang kes disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mensabitkan kesalahan di bawah SOSMA, para tahanan seperti kami berisiko ditahan semula di bawah Akta POTA (Prevention of Terrorism Act). Boleh rujuk maksud POTA ini di dalam Akta. Saya difahamkan, akta ini membenarkan tahanan seperti kami ditahan tanpa bicara untuk tempoh minimum 2 tahun. Ia sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, atau lebih dikenali sebagai “ISA”.


ISA Yang Berwajah Baharu


Dengan kombinasi akta SOSMA dan POTA ini, saya fikir ISA yang pernah dibantah oleh rakyat secara besar-besaran suatu ketika dahulu sebenarnya masih wujud, tetapi dengan wajah yang baharu. Ketika ISA dikuatkuasakan dahulu, para tahanan tidak berpeluang dibicarakan di mahkamah. “ISA versi baharu” ini seolah-olah menjadikan mahkamah hanyalah sebagai satu ‘wayang’ sahaja kerana para tahanan masih boleh ‘dibuli’ oleh pihak tertentu dan tiada peluang untuk “menang dan bebas” melalui proses mahkamah.


Buktinya sehingga ke saat saya menulis artikel ini, BELUM ADA (ya, belum ada) tahanan yang “menang dan bebas” melalui proses perundangan. Tahanan yang telahpun bebas hanyalah mereka yang telahpun dijatuhkan hukuman bersalah (atau mengaku bersalah) dan telah selesai menjalani hukuman penjara. Maka inilah salah satu faktor utama (selain kemampuan kewangan) kenapa sebahagian besar tahanan SOSMA memilih untuk “mengaku bersalah” (walaupun mereka yakin sebenarnya mereka tidak bersalah) dan dikenakan hukuman penjara. Matlamat mereka hanyalah mahu bebas atau sekurang-kurangnya mendapat tahu tarikh mereka akan dibebaskan. Kerana itu sahajalah jalan yang mereka nampak setakat ini.


Akta Yang Membuli Tertuduh


Sejujurnya, saya melihat akta ini membenarkan pihak polis dan pihak pendakwaraya membuli dan menekan tahanan supaya “mengaku bersalah”. Saya beberapa kali diingatkan (diugut?) oleh pihak polis yang mengendalikan kes saya, katanya “Kami (polis) tidak pernah kalah!”. Melihat kes-kes tahanan SOSMA sebelum ini, memang ada betulnya kata-kata ‘ugutan’ itu. Dari satu sudut, ia menggambarkan kecekapan pihak polis dan pihak pendakwaraya dalam mengendalikan kes SOSMA. Tetapi dari sudut yang lain, peruntukan undang-undang itu sendiri membenarkan pihak polis dan pendakwaraya ‘membuli’ tahanan, dan tertuduh seperti kami tiada peluang untuk ‘menang’!


Jika menang di Mahkamah Tinggi (setelah melalui proses perbicaraan dan ditahan reman sekurang-kurangnya 2 tahun), pihak pendakwaraya boleh membawa kes ke peringkat Mahkamah Rayuan yang menyebabkan tahanan terus ditahan reman untuk tempoh beberapa tahun lagi. Bahkan jika menang di Mahkamah Rayuan sekalipun, pihak polis boleh mempergunakan Akta POTA untuk menahan semula tanpa bicara! Maka saya melihat birokrasi perundangan inilah yang membolehkan pihak polis terus menggunakan ugutan “Kami (polis) tidak pernah kalah!”.


Apabila melihat peluang untuk “menang dan bebas” sangat kabur jika tertuduh mahu “lawan kes” di mahkamah untuk membela diri, maka sebahagian besar tertuduh patah semangat dan terpaksa memilih “mengaku bersalah” sahaja walaupun mereka yakin sebenarnya mereka tidak bersalah. Yang penting, mereka mahu bebas atau sekurang-kurangnya mendapat tarikh untuk bebas. Itulah sahaja jalan yang ada untuk kami bebas selagi pihak kerajaan tidak meminda (atau terus memansuhkan sepertimana manifesto pilihanraya Pakatan Harapan) akta yang zalim ini. Hari ini nasib saya, mungkin esok nasib anda atau ahli keluarga anda (na’uzubillahi min zalik) yang juga naif seperti saya sebelum ditahan dahulu!


Rakyat Naif Menjadi Mangsa


Saya percaya, anda dan ramai rakyat Malaysia naif seperti saya. Anda tidak pernah tahu, tindakan-tindakan yang dianggap terlalu kecil dan tidak mengancam keselamatan negara seperti berikut boleh dikenakan hukuman penjara bertahun-tahun lamanya di bawah akta ini, antaranya;


1. Like, share, comment di media sosial (seperti Facebook) apa-apa posting berkaitan perkembangan umat Islam dan konflik peperangan di Syria.


2. Memiliki foto, video dan artikel (walaupun hanya simpan dalam handphone) yang berkaitan isu dan kumpulan-kumpulan Islam berperang di Syria.


3. Memberi derma (walaupun cuma RM10) untuk membantu mangsa perang atau misi kemanusiaan di Syria.


4. Menyertai group Whatsapp / Telegram dll. tentang perkembangan dan nasib umat Islam di Syria.


5. Memiliki buku-buku tentang jihad seperti “Tarbiyyah Jihad” tulisan Dr. Abdullah Azzam yang dijual di kedai-kedai buku secara terbuka!


Sekiranya anda melakukan atau terlibat dengan perkara-perkara yang saya senaraikan itu, anda boleh ditangkap, dipenjarakan dan dituduh sebagai “pengganas” di bawah Akta SOSMA. Tahanan SOSMA bukan dianggap sebagai “penjenayah”, tetapi “pengganas”! Ia lebih berat dari kesalahan mencuri, merompak, menyamun, merogol bahkan membunuh! Tahanan SOSMA dianggap sebagai “Tahanan Radikal”. Prosedur tahanan mereka berbeza dengan “penjenayah” biasa.


Kalau di Penjara Sungai Buloh, tahanan SOSMA ditempatkan di bahagian asing dari tahanan lain. Tahanan SOSMA tidak dibenarkan bergaul dengan tahanan jenayah lain. Satu lokap dikhaskan hanya untuk seorang tahanan. Segala pergerakan dalam penjara perlu di ‘escort’ oleh UKP (Unit Kawalan Pencegah) i.e. polis penjara. Makanan yang dibekalkan sama seperti “Banduan Akhir” i.e. yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati!


Dipenjarakan Sebelum Dibuktikan Bersalah


Apa yang menyedihkan dan menekan tahanan SOSMA ialah mereka tidak dibenarkan diikat-jamin sepanjang tempoh perbicaraan (yang berlangsung sekurang-kurangnya selama 1 - 2 tahun). Dengan kata lain, mereka dipenjarakan sebelum dibuktikan bersalah! Walaupun tuduhan yang dikenakan hanyalah memberi derma sebanyak RM50, tetapi mereka dipenjarakan terlebih dahulu! Dalam proses membela diri daripada pertuduhan, mereka telah kehilangan kerjaya, sumber pendapatan, harta, bahkan sebilangannya kehilangan keluarga i.e. rumahtangga porak peranda! Ringkasnya, mereka hilang segala-galanya dalam proses membela diri mereka.


Dalam proses membela diri ini, sebahagian besar tahanan terpaksa “mengaku bersalah” (walaupun tidak bersalah) hanya kerana tidak mampu membayar kos guaman. Mana mungkin mereka mampu membayar kos guaman yang jumlahnya berpuluh malah beratus ribu sedangkan nafkah kepada keluarga pun mereka tidak mampu berikan walaupun cuma RM1 (kerana terpenjara)? Sebaliknya, para tahanan SOSMA terpaksa menagih ‘nafkah’ daripada isteri dan ahli keluarga kerana mereka tidak ada jalan lain.


Tahanan yang mampu “lawan kes” bagi mempertahankan diri daripada tuduhan hanyalah mereka yang mempunyai kemampuan dari sudut kewangan dan mendapat sokongan daripada ahli keluarga. Tanpa dua perkara ini, mereka tiada pilihan selain daripada “mengaku bersalah”, walaupun mereka sebenarnya tidak bersalah. Ini secara tidak langsung menaikkan statistik jumlah “pengganas” yang ditangkap di Malaysia walaupun hakikatnya mereka bukanlah “pengganas”.


Apa yang saya perhatikan, rata-rata tahanan SOSMA adalah rakyat marhaen sahaja. Mereka bukanlah orang berada, tetapi mereka mahu jadi baik dan mahu ambil tahu perkembangan umat Islam luar negara. Saya difahamkan, sudah lebih 120 tahanan telahpun dijatuhkan hukuman dan dipenjarakan di Penjara Tapah, Perak (pusat tahanan pesalah SOSMA). Dianggarkan 95% daripada mereka mengambil keputusan “mengaku bersalah” kerana tiada kemampuan “lawan kes” dan patah semangat melihat peluang untuk “menang dan bebas” sangat kabur melalui peruntukan undang-undang yang ada sekarang. Jika mahu bebas, mereka terpaksa dijatuhkan hukuman penjara terlebih dahulu.


Hukuman Tidak Masuk Akal


Apa yang sungguh mendukacitakan, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah SOSMA sangat tidak masuk akal berbanding kesalahan yang dibuat. Mungkin saya boleh katakan, tempoh penjara yang dikenakan lebih berat daripada pesalah dadah, penyamun atau perompak! Bagi pesalah jenayah (bukan SOSMA), hukuman 1 - 2 tahun penjara dianggap satu tempoh yang lama. Tetapi bagi pesalah SOSMA sesiapa yang dihukum penjara 1 - 2 tahun, itu dianggap “rezeki” dan bernasib baik. Ini kerana proses turun naik mahkamah sahaja memakan masa 1 - 2 tahun!


Menurut rakan tahanan SOSMA yang telah memerhati lebih 100 kes mereka yang dijatuhkan hukuman di bawah SOSMA sejak tahun 2015, rata-ratanya tempoh hukuman penjara yang dikenakan kepada pesalah SOSMA adalah seperti berikut;


a. Memiliki foto / video / artikel berkaitan konflik peperangan dan kumpulan Islam di Syria - dipenjarakan 1-4 tahun!


b. Menyertai group Whatsapp /Telegram berkaitan perkembangan di Syria - dipenjarakan 3-12 tahun!


c. Memberi derma (walaupun Cuma RM10) untuk misi kemanusiaan dan mangsa perang Syria - dipenjarakan 3-12 tahun!


Ia sangat tidak masuk akal kerana majoriti daripada tahanan SOSMA bukan ditahan kerana memiliki senjata untuk melancarkan serangan atau menggugat keamanan negara. Sebaliknya mereka hanyalah golongan yang ambil peduli dan bersimpati terhadap nasib umat Islam si Syria. Cuma mereka bernasib malang, kerana mungkin group Whatsapp yang mereka sertai itu turut disertai oleh mereka yang berkait secara langsung dengan konflik peperangan di Syria seperti kumpulan militan “Islamic State”. Maka mereka dituduh memberi sokongan kepada pengganas walaupun hakikatnya tidak bermaksud begitu.


Saya sangat percaya, majoriti tahanan SOSMA adalah mereka yang cintakan keamanan walaupun mereka dituduh sebagai “pengganas”. Mana mungkin mereka mahu melakukan keganasan sedangkan mereka mempunyai keluarga dan kerjaya sendiri untuk menyara keluarga di negara tercinta ini. Sudah tentu mereka mahu negara ini aman dan damai kerana inilah tanah tumpah darah mereka sendiri.


Keluarga Anda Mungkin Menjadi Mangsa


Saya tidak nafikan, ada pesalah SOSMA yang benar-benar pernah terlibat secara langsung dengan kumpulan bersenjata di Syria. Tetapi jumlah mereka sangat kecil dan ia kes terpencil. Saya percaya, jumlahnya tidak lebih dari 5% daripada lebih 120 pesalah SOSMA yang pernah dipenjarakan. Selebihnya adalah golongan yang naif (tentang SOSMA) dan berniat baik seperti saya, dan mungkin seperti anda juga. Mungkin inilah artikel pertama yang membuka mata anda tentang “SOSMA”. Mungkin inilah kali pertama anda sedar, apa yang anda lakukan selama ini seperti auto-download foto / video daripada Whatsapp / Telegram, atau menyertai group Whatsapp / Telegram secara sembarangan, atau sekadar 'like, share, comment' di Facebook tanpa berhati-hati, itu semua adalah risiko yang membolehkan anda ditangkap dan didakwa di bawah SOSMA!


Selagi kerajaan tidak meminda atau terus memansuhkan akta ini (sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan 2018), saya percaya akan lebih ramai rakyat yang naif tetapi berniat baik (seperti saya) akan menjadi mangsa. Ditambah lagi betapa kurang (atau mungkin tiada?) usaha pihak kerajaan memberi kesedaran kepada orang awam tentang risiko-risiko terhadap sesiapa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan “keganasan” yang dimaksudkan oleh akta ini, maka ia seperti perangkap yang sengaja dipasang untuk menghukum rakyat yang naif atas nama mencegah keganasan. Dalam KPI (Key Performance Indicator) pihak berkuasa, mereka mungkin melaporkan berapa ramai “pengganas” yang berjaya ditangkap dan dihukum, walhal pada hakikatnya, mereka tangkap hanyalah “keyboard warrior” dan mereka yang naif sahaja.


Ketika saya ditangkap, pihak media (yang mendapat maklumat daripada pihak polis) melaporkan seolah olah seorang “funder besar” kepada pihak pengganas telah berjaya ditangkap sedangkan pertuduhan yang dikenakan ke atas saya oleh mahkamah ialah “menyalurkan dana sebanyak RM200” dan cuma 1 transaksi sahaja, itupun tidak ada kaitan langsung untuk tujuan keganasan. Di bawah akta ini, infaq atas dasar ihsan kemanusiaan untuk mangsa perang yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak juga boleh dituduh sebagai “menyalurkan dana untuk tujuan keganasan”! Ia sangat zalim.


Sebarkan Kesedaran Kepada Rakyat


Saya sangat percaya, undang-undang itu diwujudkan bukan untuk menangkap dan menghukum orang seperti saya. Tetapi hakikatnya, orang seperti saya yang naif inilah yang menjadi mangsa kerana akta ini. Saya sangat berharap, biarlah setakat saya dan tahanan SOSMA sekarang ini sahajalah yang menjadi mangsa terakhir. Jangan ada lagi rakyat yang naif dihukum di bawah akta ini lagi.


Mudah-mudahan artikel ini dapat berikan kesedaran kepada ramai rakyat Malaysia. Sila share artikel ini kepada seramai mungkin rakyat Malaysia, terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan anda. Biar mereka sedar tentang kewujudan akta ini, dan mengelakkan diri daripada sebarang aktiviti yang boleh dihukum di bawah akta ini tanpa mereka sedari. Jangan sampai ditimpa nasib seperti kebanyakan daripada kami (tahanan SOSMA) yang ditahan tanpa kami sedar apakah kesalahan yang telah kami lakukan sewaktu mula-mula kami ditangkap.


Walaupun saya yakin, saya tidak bersalah dan akan memberikan keterangan di mahkamah, tetapi saya dan semua tahanan SOSMA terpaksa melalui birokrasi perundangan yang amat menyulitkan kehidupan saya dan keluarga untuk tempoh 1-2 tahun lamanya. Itu mengikut jangkaan saya berdasarkan pengalaman tahanan-tahanan sebelum ini. Dalam tempoh itu, saya tidak dapat bekerja untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak saya (salah seorang daripadanya adalah “OKU”). Dalam tempoh itu, isteri saya hilang nafkah serta perlindungan dari saya sebagai suaminya. Anak-anak saya kehilangan kasih sayang serta peluang membesar bersama ayahnya (kerana saya dipenjarakan). Saya dan seluruh ahli keluarga saya telahpun dihukum di bawah akta ini walaupun saya belum dibuktikan bersalah di mahkamah!


Harapan Kepada Kerajaan Malaysia


Maka saya merayu kepada pihak kerajaan supaya benar-benar membuat penelitian menyeluruh terhadap akta ini dan seterusnya membuat perubahan yang sepatutnya. Tujuan murni untuk membendung keganasan itu sangat bagus, tetapi jangan sampai menzalimi rakyat yang naif dan berniat baik ini. Apabila akta ini telah berlaku zalim, ia tidak lagi berfungsi sebagai membendung keganasan. Sebaliknya saya khuatir, ia mencipta keganasan pada masa akan datang. Tidak ada siapa yang rela dizalimi sedangkan mereka bukanlah “pengganas” sebagaimana yang digambarkan oleh pihak media setiap kali berlaku penangkapan baru. Hinggakan pihak polis yang menyoal siasat saya pun ‘geleng kepala’ membaca laporan media (yang juga mendapat laporan daripada pihak polis) tentang kes saya. Kes sebesar semut (jika dilaporkan secara telus) tetapi digambarkan seperti sebesar gajah yang membuatkan rakyat panik!


Saya juga sarankan pihak kerajaan mendapatkan ‘feedback’ menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk para peguam, para pejuang hak asasi dan NGO yang terlibat, penjara, alim ulama’, keluarga mangsa, bahkan para tahanan sendiri. Dan tidak hanya bergantung kepada pihak tertentu sahaja sebelum membuat keputusan akhir terhadap akta ini. Saya dan para tahanan SOSMA sangat percaya pihak kerajaan Pakatan Harapan pasti prihatin dalam isu keadilan ini dan telahpun memasukkan isu “SOSMA” sebagai salah satu manifesto Pakatan Harapan dalam PRU tahun lalu. Kami sangat menunggu berita baik tentang SOSMA sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada tahun lalu. Dan kami masih menunggu dengan penuh harapan sehingga sekarang.


Akhir sekali, saya memohon maaf sekiranya tulisan ini terdapat kekurangan dan kesalahan fakta, kerana saya hanyalah seorang tahanan yang tidak berpeluang mendapat akses kepada maklumat yang lebih menyeluruh. Ini antara usaha yang mampu saya lakukan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menjadi mangsa seperti kami. Mudah-mudahan tidak ada lagi mangsa baru setelah kami.


Muhammad Ash-Shafie Tahanan SOSMA,

Penjara Sungai Buloh

25 Januari 2019


Muhammad Ash-Shafie (bukan nama sebenar) adalah seorang tahanan SOSMA.

Beliau masih ditahan sehingga hari ini.


Rencana ini adalah surat yang diterima oleh SUARAM. Tidak ada sebarang perubahan dibuat dari rencana asal.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Liga Pemuda.

© 2016 by Liga Rakyat Demokratik. Dibangunkan oleh unit media Liga Rakyat Demokratik.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.