© 2016 by Liga Pemuda Malaysia. Dibangunkan oleh unit media Liga Pemuda.

Alamat: 

B-G-15, Pusat Perniagaan Seksyen 8,

Jalan Sungai Jernih 8/1,

48050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Perhimpunan Tangkap Najib (juga dikenali sebagai Himpunan #TangkapNajib) ialah perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2015. Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh sekumpulan aktivis belia Demi Malaysia (kini Liga Pemuda), bagi menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Perhimpunan itu merupakan antara himpunan bantahan yang pertama selepas bocornya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

LATAR BELAKANG

 

Rentetan skandal 1Malaysia Development Berhad membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sekumpulan aktivis dikenali sebagai Gabungan Anak Muda Demi Malaysia, atau 'Demi Malaysia', menggesa perhimpunan aman dianjurkan pada 1 Ogos 2015 pada jam 2:00 petang berhampiran Kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur bertujuan menggesa Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

 

Menurut jurucakap kumpulan ini, Adam Adli, perhimpunan tersebut adalah satu usaha untuk "menyelamatkan negara ini dan membebaskan rakyat dari ketidaktentuan ekonomi, politik dan sosial yang berterusan". Menurut aktivis pelajar lain Safwan Anang, perhimpunan tersebut juga bertujuan untuk menjana momentum untuk perhimpunan Bersih 4 yang akan datang pada bulan yang sama.

PENAHANAN AWAL

 

Pada 31 Julai 2015, sehari sebelum perhimpunan tersebut, jurucakap Demi Malaysia Adam Adli dan aktivis pelajar Syukri Razab, bersama aktivis Amir Abd Hadi, telah hadir ke balai polis Dang Wangi untuk bertemu pihak polis bagi membincangkan perihal perhimpunan tersebut yang akan berlangsung pada hari berikutnya. Menurut aktivis, Mandeep Singh, mereka telah "pergi ke balai polis atas permintaan polis, yang telah dijanjikan kepada mereka bahawa tiada tangkapan akan dibuat, atau kenyataan yang diambil", dan memaklumkan bahawa "hanya beberapa perbincangan akan diadakan".

 

Bagaimanapun, aktivis pelajar Syukri Rezab ditahan pada jam 4:25 petang dan Adam Adli telah ditahan 20 minit kemudian di bawah Seksyen 124 (b) Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen serta Akta Hasutan. Peguam hak asasi manusia Michelle Yesudas telah menyatakan bahawa Syukri telah "ditahan tiba-tiba" apabila kumpulan Demi Malaysia telah bertemu dengan pihak polis mengenai perhimpunan Tangkap Najib dijadualkan pada hari berikutnya. Peguam hak asasi manusia Latheefa Koya juga telah menambah apa yang berlaku kepada mereka "jelas menunjukkan bahawa mereka telah ditipu".

Aktivis, Mandeep Singh, turut ditahan kira-kira jam 7 petang, pada hari yang sama.

 

PERISTIWA

Walaupun amaran daripada pihak polis, pihak penganjur mengumumkan rancangan mereka untuk meneruskan perhimpunan aman. Polis Diraja Malaysia telah mengisytiharkan perhimpunan #TangkapNajib sebagai menyalahi undang-undang, dan menyatakan bahawa tindakan yang serius akan diambil terhadap penganjur dan peserta perhimpunan tersebut.

 

Pemimpin aktivis pelajar Adam Adli, yang bertindak sebagai jurucakap jawatankuasa penganjur Demi Malaysia mendakwa bahawa amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah "taktik untuk tidak menggalakkan perbezaan pendapat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak" semata-mata, dan menegaskan bahawa penganjur demonstrasi itu bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis jika perlu.

 

Berikutan penahanan awal sehari sebelum perhimpunan, terhadap Adam Adli, Syukri Razab dan Mandeep Singh, saudara Amir Abd Hadi telah mengetuai perhimpunan pada 1 Ogos tersebut.

 

Polis berada di sana sejak jam 12.30 tengah hari, dengan beberapa lainnya turut ditempatkan di stesen-stesen kereta api berdekatan untuk menghalang orang ramai daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

 

Perhimpunan tetap dijalankan pada jam 2:00 petang di luar Kompleks Beli-Belah Sogo, walaupun aktivis menerima ugutan termasuk dari pihak polis sendiri. Kompleks beli-belah Sogo dan butik di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup buat sementara waktu menjelang jam 2:30 petang.

 

Sebaik sahaja orang ramai daripada 400 atau lebih telah berkumpul pada jam 2:00 petang, beberapa siri tangkapan berlaku. Anggota polis unit Light Strike Force turut dikerah bagi menggagalkan himpunan. Seramai lebih 80 anggota polis telah berkumpul di Sogo lebih awal pada pukul 1.00 petang.

 

Silinder gas pemedih mata telah dilaporkan ditembak pada jam 2:27 petang.

 

Pada jam 3:00 petang, 30 demonstran telah ditangkap dan segera dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, menurut Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen, yang turut hadir.

Yang ditahan termasuklah Amir Abd Hadi, Safwan Anang, Jay Jay Denis, Fahmi Zainol, Azira Aziz, Hadi Khalid, Ezzuandi Ngadi, Aiman Hakim, Muhammad Ashraff, Muhammad Abdullah Alshatry, Sidiqin Omar, Amin Landak dan lain-lain.

Aktivis sosial, Ishamuddin Rais telah ditahan lebih awal pada jam 12.30 tengah hari pada hari yang sama.

Semua yang ditahan telah dilokap selama 3 hingga 5 hari di Lokap Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur.

Himpunan #TangkapNajib telah menjadi perbualan antarabangsa, serta mendapat liputan akhbar antarabangsa seperti Wall Street Journal. #TangkapNajib juga menjadi 'trending seluruh dunia' selama lebih dua minggu di laman Twitter.

GALERI HIMPUNAN #TANGKAPNAJIB

GALERI HIMPUNAN #TANGKAPNAJIB